• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Sultanah Nur Zahirah Lawat Bengkel Songket di Penjara Marang

MARANG. 7 Mei - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke Bengkel Songket dan Galeri Pameran Songket di Penjara Marang di sini, hari ini.

Baginda tiba di Kompleks Penjara Marang pada 11 pagi dan meluangkan masa hampir dua jam bagi melihat pameran dan tenunan yang dihasilkan banduan di penjara itu.

Turut berangkat mengiringi baginda, paduka anakanda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.

Keberangkatan tiba baginda turut diiringi isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Seri Tuan Faizah  Tuan Ab Rahman.

Turut menyambut ketibaan baginda, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim dan isteri serta isteri Setiausaha Kerajaan Terengganu,Toh Puan Seri Nor Zaini Abd Latif.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor.

Sultanah Nur Zahirah turut berkenan beramah mesra dengan para banduan yang merupakan penenun songket di bengkel penjara Marang.