• 26 Jul 2024 | 19 Muharam 1446

Surau Berusia 20 Tahun Dinaik Taraf

KUALA TERENGGANU, 20 Jun - Kerajaan negeri melalui anak syarikatnya Eastern Pacific Corporation bhd (Kumpulan EPIC) menaik taraf surau di kawasan Taman Rekreasi Batu Buruk dengan kos RM100,000. 

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata langkah itu diambil setelah menerima aduan serta rungutan orang ramai mengenai kemudahan tempat beribadat di kawasan rekreasi terbabit.

Katanya, surau beserta tandas baru itu dijangka boleh digunakan bermula Ogos.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak EPIC kerana telah memperuntukkan belanja untuk satu projek yang sangat bermakna di dalam Parlimen Kuala Terengganu.

"Saya tengok pada pelan pembinaan surau dan tandas ini sangat selesa untuk kegunaan muslimin dan muslimat.

"Juga telah dimaklumkan pihak EPIC turut bermurah hati bagi menanggung sepenuhnya berkait utiliti , penyelengaraan dan sebagainya supaya surau ini boleh berjalan dengan sempurna," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan pengarah EPIC berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Tapak Naik Taraf Surau dan Tandas, di Surau Awam Batu Buruk, di sini, hari ini.

Menurut Amzad, bagi memastikan keadaan surau itu terpelihara dengan baik dan sentiasa berada di dalam keadaan bersih pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr Muhammad Khalil juga telah bersetuju menjaganya termasuk memastikan ia sentiasa diimarahkan.

"Kita akan menyerahkan kepada pihak yang akan menguruskan surau ini, kita tidak mahu ia akan dijadikan sebagai tempat tidur percuma kepada golongan gelandangan tanpa penjagaan rapi.

"Surau ini boleh memuatkan sehingga 50 orang dalam satu-satu masa, yang akan turut dilengkapi penghawa dingin yang lebih baik dari sebelum ini," ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama katanya syarikat EPIC telah membelanjakan sebanyak RM2.3 juta setakat tahun ini bagi menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menurutnya antara CSR yang telah dijalankan ialah di Padang Astaka di Jerteh, Sekolah Ittifaqiyah dan Sekolah Seri Budiman serta beberapa sekolah pondok yang telah dibantu bagi melengkapkan keperluan yang dikehendaki.