• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Suri Rumah Jahit PPE Petugas Barisan Hadapan

KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Meskipun sibuk dengan urusan keluarga dan rumah tangga, suri rumah di negeri ini tidak ketinggalan menjahit pakaian pelindung diri (PPE) buat petugas barisan hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Mohd Nor berkata, sebanyak 500 PPE yang siap dijahit itu telah diserahkan ke pusat pengumpulan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum dihantar ke tempat yang sesuai.

"Terdahulu, Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES Terengganu) telah menghantar kain yang belum dijahit kepada 60 suri rumah yang dipilih dari empat buah daerah, iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu.

"Kita mahu mereka juga berperanan dalam membantu menyediakan segala keperluan 'frontliners'.

"Penyumbang utama ialah Badan Bukan Kerajaan (NGO) Iman Care yang mengumpul sumbangan daripada orang ramai dengan memberikan bahan mentah (kain) untuk kami jahit,"ujarnya yang juga penaung kepada pertubuhan berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media ketika hadir pada Program Bantuan Kelengkapan Frontliner (Rakan 1.0), di Hospital Sultanah Nur Zahirah hari ini. 

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Perubatan) III, Dr. Dzawati Amilin Basemin, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Komuniti Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Pegawai Unit NGO Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Abdul Halim Chik dan Pengurus Pusat pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC), Mohd Isyraf Abd Rahman.

Program tersebut juga telah mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).

Mewakili Pihak HANESS, Zuraida berkata pihaknya sangat berterima kasih atas peluang yang diberikan kepada wanita untuk turut menjadi sebahagian daripada tenaga dalam menyediakan sumbangan tersebut.

"Jika diperlukan lagi tambahan untuk mencukupkan pakaian perlindungan tersebut kita sentiasa bersedia namun sekarang ini kes pandemik dah semakin berkurangan mungkin penggunaanya akan turut berkurang.

"Namun saya yakin penyediaan stok pakaian tersebut perlu sentiasa untuk dipastikan mencukupi," ujarnya.

Pengarah UBSNT, Nasir Abdul Razak ketika dihubungi berkata, melalui program berkenaan, 1,700 PPE dan 1,000 pelindung muka telah diagihkan.

"Masih sedikit berbaki bagi mencukupkan 2,000 PPE untuk dikumpulkan, selain itu Iman Care turut memberikan kain kepada Penjara Marang untuk dijahit banduan sebelum diberikan kepada petugas barisan hadapan.

"UBSNT telah bertanggungjawab bagi menyelaraskan bantuan NGO. Semoga semua barisan hadapan akan terus diberi kekuatan dengan sedikit bantuan daripada kami ini," ujarnya.


Tag: