• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

T-Team Naib Juara Piala Presiden




T-Team hanya mampu bergelar naib juara Piala Presiden apabila tewas 0-2 kepada Kelantan dalam saingan akhir kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Kekalahan T-Team dengan agregat 1-3, menghadiahkan kejuaraan buat Kelantan sekaligus mempertahankan piala itu buat kali kedua berturut-turut.  

Ketua jurulatih T-Team, Mohd Nafuzi Mahammad Zain berkata, walaupun tewas dalam perlawanan akhir itu, prestasi anak didiknya sepanjang musim ini suatu yang masih boleh dibanggakan.

“Dari awal musim sehingga sekarang, pemain-pemain ini menunjukkan mutu permainan yang hebat dan membuktikan mampu ke peringkat akhir walaupun pada awalnya kami hanya mensasarkan ke peringkat suku akhir sahaja.

“Mereka bermula dari bawah, tiada siapa sangka pasukan kami mampu ke peringkat akhir dan ini merupakan suatu pencapaian yang besar untuk pasukan serta pemain itu sendiri,” katanya.


Tambahnya, dalam perlawanan akhir malam tadi, T-Team banyak melakukan kesilapan sekaligus membuka ruang kepada pasukan Kelantan untuk mencipta kemenangan.

“Perlawanan akhir menyaksikan pasukan yang melakukan kesilapan akan dihukum. Kita banyak melakukan kesilapan dan akhirnya dihukum.

“Tetapi dari segi persembahan pemain-pemain ini, saya sangat berpuas hati. Mereka inilah merupakan pemain di masa hadapan untuk pasukan Terengganu,” katanya.

Dalam aksi malam tadi, walaupun masing-masing berbalas serangan, namun kesilapan yang dilakukan tuan rumah, memberi peluang pasukan pelawat mencipta jaringan pertama pada minit ke-40 menerusi rembatan Muhamad Raihan Mohd Huzaiz.

Pada minit ke-81, Kelantan terus menambah lara T-Team apabila Muhammad Danial Ashraf Abdullah menambah jaringan buat pasukannya menerusi gerakan solo.

Selaku naib juara Piala Presiden, T-Team meraih RM100,000 manakala Kelantan membawa pulang piala pusingan berserta wang tunai berjumlah RM150,000.

Hadiah tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat.

Tag: