• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Tablet Percuma Rapatkan Jurang Digital Pelajar Terengganu

KEMAMAN, 4 Mei - Usaha pemberian tablet percuma kepada rakyat negeri Terengganu diharapkan dapat membantu merapatkan lagi jurang digital di kalangan pelajar-pelajar sekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab.Razak Ibrahim mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat khususnya di kawasannya. 

"Saya mengucapkan terima kasih kepada anak syarikat negeri Terengganu antaranya Terengganu Inc Sdn Bhd, Epic Berhad, Syarikat Air Terengganu (SATU), Ladang Rakyat Terengganu dan Terengganu Strategic Integrity Institute (TSIS) yang menyumbang dan menjayakan program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 2.0," katanya.

Tambah beliau lagi, penyerahan tablet di DUN Air Putih yang tertangguh sebelum ini adalah disebabkan pandemik Covid-19 yang meningkat jumlah kesnya pada bulan lepas. 

"Terdapat 32 buah sekolah di DUN Air Putih, hari ini seramai 50 orang yang bernasib baik. Saya berharap ibu bapa sentiasa mengawasi anak-anak dalam penggunaan tablet agar tiada penyalahgunaan teknologi ini," katanya pada Majlis Penyerahan Tablet kepada pelajar DUN Air Putih yang berlangsung di Dewan Sivik Pasir Gajah.

Beliau turut berpesan kepada para pelajar untuk menggunakan tablet ini dengan sebaiknya dan menghargai sumbangan yang diterima daripada anak-anak syarikat Terengganu ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Ketua Jabatan Penyelidikan Komuniti TSIS, General Manager Konsortium Pelabuhan Kemaman, General Manager Epic Oil Field Services dan Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan TI.


Tag: