• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Tahap Rasa Selamat Penduduk Terengganu 95.3 Peratus




Kajian terbaharu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mendapati tahap rasa selamat di kalangan penduduk di Terengganu  antara yang tertinggi berbanding negeri lain, iaitu pada paras 95.3 peratus.

Pengarah JPNIN Terengganu,  Dato’ Gandesan Lecthumanan, berkata peratusan itu menjadikan negeri ini tersenarai dalam kelompok tertinggi  berbanding negeri maju lain di seluruh Malaysia.

"Pihak kami mendapatkan maklum balas daripada hampir 26,033  responden di seluruh negeri hasil kaji selidik yang dijalankan melalui peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negeri ini. 
Kajian sebegini dilakukan dua kali setahun.



"Kita melihat perbezaan politik di negeri yang majoriti bangsa Melayu tidak menjejaskan rasa tenang dan selamat malah penyertaan kelompok masyarakat tanpa mengira fahaman itu dalam KRT dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) banyak membantu termasuk menjaga keharmonian dan mencegah jenayah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika pada Majlis Budi Dijunjung Martabat Dijulang, di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Nerus, malam tadi..


Hadir merasmikan majlis itu, Pengerusi  Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud .

Katanya, sejumlah 401 KRT sudah ditubuhkan sehingga kini dengan sejumlah 352 SRS dan daerah Kuala Terengganu mencatat jumlah tertinggi iaitu 103 KRT dan 113 SRS.

“Pihak kami menyasarkan jumlah KRT dapat ditingkatkan kepada 450 pada tahun depan di samping tumpuan turut diberikan untuk menarik penglibatan golongan muda untuk berperanan lebih besar dalam KRT dan SRS,” katanya.



Tag: