• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Taktik Tak Menjadi, Pasangan Dicekup

MARANG, 31 Ogos - Taktik mendaftar masuk hotel menggunakan dua bilik bagi mengaburi mata penguatkuasa tidak menjadi, selepas satu pasangan muda ditahan Pejabat Agama Daerah Marang (PADM) dalam serbuan Operasi Ambang Merdeka di sebuah hotel bajet, di sini pagi tadi.

Ketua Unit Penguatkuasa PADM, Sharimah Mamat berkata, serbuan pada jam 4.15 pagi mendapati pasangan masing-masing berusia 25 dan 26 tahun itu berdua-duaan dalam salah sebuah bilik yang mereka tempah.

"Kita berjaya menahan satu pasangan yang belum sah taraf nikah selepas lebih empat jam meronda dari Bandar Marang sehinggalah ke Wakaf Tapai bermula 12.00 tengah malam tadi.

"Hasil pemeriksaan mendapati pasangan terbabit merupakan rakyat dari luar negeri Terengganu dan memberi alasan untuk melihat pertunjukan bunga api sempena sambutan ambang kemerdekaan di sini.

"Serbuan diadakan di beberapa lokasi terpilih bertujuan membanteras aktiviti tidak bermoral terutama kepada individu yang mengambil kesempatan ketika cuti umum ke hotel tertentu di kawasan ini," katanya selepas Operasi Ambang Merdeka membabitkan anggota PADM dan Skuad AMAR Marang melibatkan seramai 25 orang penguatkuasa serta sukarelawan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31 (a) (b) EKJS (T) TRG 2001 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Terengganu kerana disyaki berkhalwat yang boleh dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau penjara dua tahun jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Ketua Skuad AMAR Marang, Nasaruddin Samsudeng berkata, semua pihak termasuk pemilik tempat penginapan perlu bertanggungjawab dalam mengelakkan pelanggaran syariat di negeri ini.

"Jangan bermudah-mudah melakukan perkara terkutuk itu di negeri Terengganu kerana kita akan bersama-sama komuniti meningkatkan pemantauan dalam membantu Pejabat Agama Daerah Marang, insya-Allah," katanya.


Tag: