• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Taman Rekreasi Agro Darau Mampu Lonjak Potensi Besut

BESUT, 9 Jun- Pembukaan Taman Rekreasi Agro Darau, yang dilancarkan secara rasmi hari ini akan membuka ruang percambahan ekonomi di kawasan Hulu Besut.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kewujudan taman rekreasi bernilai RM15 juta itu menjadi suatu permulaan kerana lokasi berdekatan dengannya akan menjadi stesen keretapi Rel Hubungan Pantai Timur (ECRL).

"Sekiranya ia berjalan dengan baik, insya-Allah perkara paling besar yang akan berlaku adalah limpahan ekonomi yang mana ekonomi setempat akan bercambah.

"Selain daripada menjadi pusat rekreasi alternatif yang boleh menyumbang kepada ekonomi setempat dan peningkatan kualiti persekitaran, antara yang diperlukan rakyat ialah menjana pendapatan," katanya dalam ucapan perasmian di lokasi berkenaan, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Shahidan Embok, Pengarah Tanah dan Galian Terengganu; Dato' Zulkifli Ali, Yang Dipertua Daerah Besut; Mohd Fadli Ngah serta pegawai penyelaras DUN Hulu Besut; Mat Daik Mohamad dan pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Besut; Azran Amin Mazlan.

Beliau turut menzahirkan tahniah kepada pihak-pihak terlibat yang memastikan projek berkenaan berjalan dengan baik dan dapat disaksikan hari ini.

"Tentunya tempat ini tak begitu asing dengan saya yang dilahirkan tidak jauh dari sini.

"Semoga pembukaan taman rekreasi ini melonjakkan potensi Besut untuk melompat lebih jauh sebagai kawasan eko-pelancongan dan menyumbang kepada ekonomi rakyatnya," katanya.

Taman Rekreasi Agro Darau berkeluasan 10.37 ekar itu mula dibina pada 2017 berjaya disiapkan pada November 2021.

Taman itu memiliki kemudahan menara tinjau, taman permainan dan gimnasium luar, selain turut menempatkan gelanggang petanque serta jeti. Lebih menarik, ia juga mempunyai agro bazar dan restoran terapung yang dapat dimanfaatkan sebagai aktiviti santai keluarga.


Tag: