• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Tambah Menara Telekomunikasi Baharu di Kawasan LPT2- Hanafiah

KUALA TERENGGANU, 8 Julai- Kerajaan negeri memohon Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menambah projek pembinaan menara telekomunikasi khususnya di kawasan jajaran lebuh raya LPT2 bagi memperluas rangkaian internet di negeri ini.

Pengerusi Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, ia susulan kejayaan anak syarikat Theta Edge Berhad iaitu Theta Telecoms Sdn Bhd yang telah berjaya membina sebanyak 46 menara telekomunikasi baharu di Negeri Terengganu melalui inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa 1.

Katanya, kerajaan negeri amat berharap usaha sebegini dapat diteruskan dan ditambah lagi memandangkan masih banyak kawasan lain yang memerlukan perhatian dari segi liputan telekomunikasi khususnya kawasan jajaran lebuh raya LPT2 selain kawasan-kawasan tumpuan pelancongan, dan juga kawasan luar bandar yang masih belum mempunyai liputan yang memadai.

"Kerajaan negeri melalui Terengganu Telecommunications Sdn Bhd (TCOMM) akan sentiasa memantau dan membantu pelaksanaan berkenaan telekomunikasi bagi memastikan ia berjalan lancar. 

"Pihak negeri akan memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak yang terlibat bagi mencapai matlamat ini, " ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemuktamadan Penyerahan 46 Menara Telekomunikasi Baharu Pelan Jendela Fasa 1 di Menara Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini, baru-baru ini.

Sementara itu Hanafiah yang mewakili kerajaan Negeri Terengganu merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam projek pembinaan 46 menara telekomunikasi baharu itu.

"Kami sangat menghargai usaha yang dilakukan terutamanya oleh MCMC dalam melaksanakan projek Universal Service Provision (USP) yang merangkumi inisiatif JENDELA, Major Contributor (MC), dan juga Clawback (CB). 

"Projek-projek sebegini amat penting bagi 
memastikan liputan telekomunikasi di kawasan ‘non-commercial’ dan jajaran lebuh raya dapat dipertingkatkan.

"Projek ini banyak memberi makna kepada Negeri Terengganu. Ia bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan memastikan mereka mendapat akses kepada perkhidmatan telekomunikasi yang lebih baik, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi melalui peningkatan infrastruktur," ujarnya.