• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Tanah Felda Selasih : Usaha Diplomasi Kerajaan Buahkan Hasil

SETIU, 14 Jun – Penyelesaian isu Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) bagi generasi ke-2 Felda Selasih mempamerkan kredibiliti dan kesungguhan pemimpin negeri terhadap rakyat Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, rundingan yang dilakukan bersama kerajaan persekutuan berjaya mengeluarkan tanah tersebut daripada Akta Tanah (Kawasan Penempatan Tanah) 1960 (Akta GSA).

“Walaupun perjanjian ini (Akta GSA) antara Felda dengan kerajaan negeri, sebenarnya ia memberikan kuasa yang besar kepada Felda untuk mempertahan tanah mereka.

“Kita lalui halangan dengan pihak Felda yang secara asasnya tidak meluluskan pemberian tanah ni dengan alasan mereka mempunyai perancangan dan sebagainya, tapi kita berhujah dengan hujah kita,” katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman selepas merasmikan Majlis Undian Lot RTB Felda Selasih Generasi Ke-2 di Perkarangan Tapak RTB Felda Selasih di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, kejayaan mengeluarkan tanah tersebut menjadi titik permulaan bagi proses RTB seterusnya yang melibatkan tanah Felda.

“Apabila sudah berjaya di peringkat pertama, laluan untuk ke peringkat seterusnya insya-Allah tidak begitu sukar.

“Dulu usaha hanya selesai di atas meja Menteri yang jaga Felda , Menteri Hal Ehwal Ekonomi (Menteri Di Jabatan Perdana Meeteri), namun proses seterusnya perlu sampai ke meja Perdana Menteri,” ujarnya.

Azman turut menegaskan bahawa hubungan baik antara kerajaan negeri serta persekutuan turut menjadi faktor kelulusan tanah RTB berkenaan.

Terdahulu kerajaan negeri berjaya berunding bagi pengagihan lot RTB kepada 124 anak peneroka Felda Selasih, Jabi dan berjaya memberikan hakmilik geran kepada 543 peneroka Felda Neram 2, Air Putih setelah puluhan tahun penantian memiliki geran.


Tag: