lightning-solid
Berita :
Tanah Runtuh : Jalan Aring 8–Kenyir–Kuala Jeneris Ditutup
Tanah Runtuh : Jalan Aring 8–Kenyir–Kuala Jeneris Ditutup
Mastura Jamal Din
5 jam yang lepas
164

KUALA TERENGGANU, 17 Disember - Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris, ditutup kepada semua kenderaan susulan tanah runtuh berhampiran Sungai Deka Elephant Conservation Center, di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dato' Hanafiah Mat berkata laluan itu telah diwartakan sebagai ditutup oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) atas faktor keselamatan dan kekal ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan. 

Menurutnya, kejadian runtuhan susulan ini mengesahkan bahawa laluan tersebut berisiko tinggi dan tidak selamat untuk digunakan.

"Runtuhan susulan ini melibatkan hakisan tanah di tepi dan bawah struktur culvert akibat aliran air deras semasa Musim Tengkujuh Laut (MTL), yang telah menjejaskan kestabilan tanah dan struktur saliran di lokasi berkenaan.

"Justeru itu, pengguna jalan raya digalakkan merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif melalui Jerteh – Machang – Gua Musang atau Jerteh – Kuala Krai – Gua Musang, tertakluk kepada destinasi masing-masing," ujarnya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini.

Menurut beliau, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memaklumkan status penutupan jalan dikekalkan dengan Pelan Pengurusan Trafik (TMP), papan tanda amaran serta lencongan dipastikan berada dalam keadaan baik dan jelas, selain pemantauan berterusan oleh JKR Daerah Hulu Terengganu bersama Roadcare (M) Sdn. Bhd.

"Sebagai langkah penyelesaian, JKR Terengganu sebelum ini telah mengemukakan permohonan peruntukan kerja kecemasan kepada Kerajaan Persekutuan dengan anggaran kos kira-kira RM1.5 juta, melibatkan pemasangan sheet pile dan pembinaan jalan lencongan sementara bagi memastikan keselamatan struktur jalan serta mengelakkan akses ke Santuari Gajah Sungai Deka terputus," katanya. 

Hanafiah turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi sepenuhnya arahan penutupan, papan tanda amaran dan penghadang keselamatan serta tidak menggunakan laluan yang telah diwartakan tutup bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Tambahnya, Kerajaan negeri juga akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan pembaikan dapat dilaksanakan secara teratur dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan utama.



Tag :

Artikel Berkaitan