lightning-solid
Berita :
“Tangan Halus Barat Terus Mengatur: Masjid dan Ulama Jadi Mangsa”
“Tangan Halus Barat Terus Mengatur: Masjid dan Ulama Jadi Mangsa”
Amirul Mohd
31 Oct 25
229

KUALA LUMPUR, 30 Oktober — Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa tindakan menuduh masjid dan madrasah sebagai “sarang pengganas” merupakan fitnah besar terhadap institusi suci Islam yang sepatutnya menjadi pusat keamanan dan penyebaran ilmu.

Dalam tulisan terbarunya bertajuk “Masjid dan Madrasah Dilabel Sarang Pengganas” dalam ruangan Minda Presiden PAS, beliau menjelaskan bahawa masjid adalah rumah Allah yang seharusnya menjadi tempat paling aman dan selamat, bukannya disalah erti sebagai tempat melahirkan pelampau.

“Masjid ialah tempat ibadat dan tempat mengambil ilmu Allah serta kalam-Nya yang Maha Rahmat. Tiba-tiba, masjid difitnah dengan jenama sarang pengganas dan pelampau. Allah menamakan mereka yang menghalang manusia menuju ke masjid sebagai paling zalim,” katanya.

Abdul Hadi menegaskan, sejarah telah membuktikan bahawa tindakan memusuhi dan menghalang manusia daripada memakmurkan masjid bukan perkara baharu, bahkan pernah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW di Makkah dan terhadap Masjid al-Aqsa pada masa lalu.

Beliau turut menjelaskan bahawa Islamofobia menjadi antara punca utama munculnya fitnah terhadap masjid dan institusi agama. Istilah itu, katanya, diperkenalkan penjajah Barat bagi memburukkan imej Islam dan menakut-nakutkan masyarakat terhadap ajarannya.

“Islamofobia ini disemai melalui propaganda Barat yang memisahkan agama daripada kehidupan dan menanam persepsi bahawa Islam bersifat ganas serta mengancam keamanan dunia,” tegas beliau.

Menurutnya, serangan pemikiran ini bukan sahaja berlaku di negara bukan Islam, malah telah menular ke dalam dunia Islam sendiri melalui pengaruh ideologi sekular yang menyesatkan kefahaman umat terhadap ajaran Islam.

Beliau turut menyentuh tentang teori penjajah Belanda, Christiaan Snouck Hurgronje, yang merancang strategi mengawal kegiatan Islam melalui apa yang disebut sebagai Politik Islam Hindia Belanda. Strategi itu, katanya, diteruskan hingga kini oleh sesetengah kerajaan pascamerdeka yang mengawal kegiatan agama atas nama keselamatan negara.

“Langkah-langkah seperti memisahkan agama daripada politik, mengawal perjalanan haji, dan bekerjasama dengan elit peribumi yang propenjajah telah digunakan untuk melemahkan pengaruh ulama. Kini, peranan itu diambil alih oleh kerajaan yang meneruskan dasar penjajahan dengan alasan menjaga keselamatan,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Islamofobia bukan sekadar isu luar negara, sebaliknya sudah menjalar ke dalam masyarakat Islam sendiri apabila masjid dan sekolah agama disekat daripada memainkan peranan sebenar.

“Masjid bukan sekadar tempat solat, tetapi pusat pentadbiran, pendidikan dan kebajikan masyarakat Islam. Maka, sesiapa yang menyekat fungsinya dianggap paling zalim,” katanya lagi.

Dalam penutupnya, Presiden PAS itu menyeru umat Islam agar mengenal pasti musuh sebenar yang cuba merosakkan agama dan institusi Islam melalui fitnah dan manipulasi media.

“Kenalilah siapa musuh Islam yang menjadi syaitan dan bala tenteranya. Jangan kita tertipu dengan wajah manis mereka yang menyebarkan Islamofobia atas nama kemajuan dan keselamatan,” tegasnya.

Tulisan penuh beliau boleh dibaca dalam ruangan Minda Presiden PAS bertajuk “Masjid dan Madrasah Dilabel Sarang Pengganas” yang diterbitkan pada 30 Oktober 2025.


Tag :

Artikel Berkaitan