lightning-solid
Berita :
Tarif Baharu Air Tidak Jejas Majoriti Pengguna di Terengganu – SATU
Tarif Baharu Air Tidak Jejas Majoriti Pengguna di Terengganu – SATU
Rohayati Ripin
13 Sep 25
289

KUALA TERENGGANU, 13 September – Syarikat Air Terengganu (SATU) menegaskan pelaksanaan tarif baharu air tidak memberi kesan besar kepada majoriti pengguna domestik di negeri ini, sebaliknya hanya melibatkan segelintir yang menggunakan lebih 50 meter padu (m³) sebulan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Karim Endut berkata, purata penggunaan isi rumah di Terengganu sekitar 27.5 hingga 30m³ sebulan bagi sebuah keluarga empat orang, sekali gus meminimumkan kesan kenaikan tarif.

"Tidak benar berlaku kenaikan sekali ganda sebagaimana ditularkan. Hanya segelintir pengguna yang menggunakan air melebihi 50m³ sebulan akan nampak perbezaannya," katanya ketika dihubungi. 

Beliau menjelaskan kadar tarif air domestik di Terengganu masih antara terendah di negara ini, dengan caj RM0.66 semeter padu bagi penggunaan bawah 20m³ berbanding sehingga RM1.05 di beberapa negeri lain.

Katanya, bagi blok 20 hingga 35m³, caj di Terengganu ialah RM1.69 semeter padu, lebih rendah berbanding Johor (RM2.35), manakala bagi penggunaan melebihi 35m³ pula dikenakan RM2.25 semeter padu berbanding RM3.50 di Johor serta RM3.51 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Ini jelas menunjukkan kadar tarif air di Terengganu masih kompetitif malah lebih rendah berbanding banyak negeri lain.

“Sebagai contoh, penggunaan 30m³ sebulan hanya dicaj 20m³ pertama pada kadar RM0.66 dan baki 10m³ berikutnya pada RM1.69. Jumlah caj sebenar jauh lebih rendah berbanding angka yang ditularkan,” ujarnya.

"Dengan kaedah blok ini, jumlah caj sebenar adalah lebih rendah daripada jumlah yang ditularkan," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Karim menolak dakwaan kononnya 75 peratus rumah di Terengganu akan mengalami kenaikan purata bil bulanan sebanyak RM37 sebagaimana tersebar di media sosial.

“Itu tidak benar sama sekali. Pengguna boleh semak sendiri dengan kalkulator bil air yang disediakan dalam laman SATU untuk melihat anggaran caj sebenar," ujarnya.

Mengikut rekod tambah beliau, terdapat 293,519 akaun pengguna domestik di Terengganu dengan 40 peratus menggunakan air tidak melebihi 20m³ sebulan, 19 peratus sehingga 30m³ dan 21 peratus sehingga 45m³.

"Selain itu, empat peratus menggunakan sehingga 50m³, 12 peratus sehingga 80m³, manakala dua peratus masing-masing menggunakan sehingga 100m³ dan lebih 100m³.

"Bagi kategori penerima subsidi 20m³ percuma, 32 peratus pengguna berada dalam tahap penggunaan tidak melebihi 20m³, manakala 68 peratus lagi melebihi kadar tersebut.

“Berdasarkan data ini, majoriti pengguna berada dalam kategori penggunaan rendah hingga sederhana, manakala hanya sebilangan kecil yang berdepan kesan ketara,” jelas beliau.

Tambahnya, pelarasan tarif air diluluskan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui mekanisme penetapan tarif (TSM) selepas mengambil kira kos operasi, kewangan serta keperluan penambahbaikan berperingkat bagi menjamin kelestarian bekalan air di Terengganu.


Tag :

Artikel Berkaitan