• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tarif Naik, Golongan Sasar Kekal Dapat Air Percuma

KUALA TERENGGANU, 22 Januari - Pelarasan tarif air baharu tidak akan memberi kesan kepada pemberian subsidi 20 meter padu kepada 11,832 akaun pengguna golongan B40 di Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Ts Abdul Karim Endut, berkata ia akan diteruskan seperti disarankan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ketika mengumumkan pelarasan tarif air baharu itu.

“Pemberian subsidi ini melibatkan dengan kos tanggungan sebanyak RM1,176,180 setahun.

“Jumlah nilai pemberian air percuma oleh kerajaan negeri ini sebenarnya meningkat daripada RM8.40 kepada RM10 sebulan untuk setiap akaun penerima yang mana kosnya ditanggung kerajaan negeri,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman( UPDI) hari ini.

Tambah Abdul Karim, pemberian itu juga meliputi masjid dan surau berdaftar melibatkan 1,883 akaun dengan kos tanggungan bernilai RM1.4 juta setahun, menjadikan RM2.5 juta setahun ditanggung kerajaan negeri bagi tujuan itu.

“Semua masjid serta surau yang berdaftar menerima subsidi bekalan air bersih percuma tanpa had.

"Sementara itu, bagi masjid dan surau yang tidak berdaftar, akan menerima subsidi sebanyak 50 meter padu pertama secara  percuma dan penggunaan selebihnya akan dibayar dengan kadar baharu bagi setiap meter padu,” jelasnya.

Bilangan akaun pengguna air yang aktif di Terengganu sehingga November 2023 ialah 341,546, di mana 83 peratus merupakan pengguna domestik.

Menerusi Mekanisme Penetapan Tarif, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) baru-baru ini mengumumkan pelarasan tarif air baharu bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Kenaikan yang disifatkan SPAN sebagai tidak lagi boleh ditangguhkan itu, bertujuan agar tidak menjejaskan kemampanan industri perkhidmatan air dalam jangka panjang.