• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Tarik Balik Larangan Jual Padi Ke Kilang Negeri Lain - Azman

KUALA TERENGGANU, 10 September - Mesyuarat Jawatankuasa Padi Negeri Terengganu semalam memutuskan untuk menarik balik larangan penjualan hasil padi dari Terengganu ke kilang padi di negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat bagi mewujudkan persaingan yang lebih sihat di kalangan pengusaha-pengusaha kilang padi yang ada di Terengganu.

Menurutnya, sehingga kini harga belian padi di Terengganu agak rendah berbanding di negeri lain. 

“Selaras dengan kenaikan pelbagai kos mengusahakan sawah yang dipikul oleh pesawah, mereka berhak mendapat harga yang lebih tinggi. 

“Peraturan yang melarang penjualan padi ke negeri lain memberikan status quo kepada pengilang padi Terengganu untuk kekal dengan harga yang relatif rendah berbanding negeri lain,”ujarnya dalam satu hantaran di laman facebook rasminya semalam.

Tambah beliau, kerajaan perlu memberikan ruang yang lebih baik kepada pesawah di Terengganu. 

Azman juga berkata, persaingan sihat perlu dibuka di kalangan pengusaha kilang padi untuk mereka menawarkan tawaran yang terbaik dalam rangka menarik pesawah supaya menjual padi ke kilang masing-masing.

“Banyak kilang padi di Terengganu membeli padi dengan harga lantai RM1300/mt dalam masa yang sama harga padi di negeri lain sudah mencecah RM1800/mt.

“Kementerian Pertanian hanya menetapkan harga lantai padi RM1300/mt tanpa penetapan harga siling,” ujar beliau lagi.

 Justeru itu katanya, terpulang kepada pihak kilang untuk  penetapan harga asalkan jangan lebih rendah dari harga lantai.