lightning-solid
Berita :
Tarikh Melihat Anak Bulan Ramadan Ditetapkan Pada 17 Februari
Tarikh Melihat Anak Bulan Ramadan Ditetapkan Pada 17 Februari
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
36

KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan permulaan puasa umat Islam di Malaysia tahun ini ditetapkan pada petang Selasa, 17 Februari bersamaan 29 Syaaban 1447 Hijrah.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa kaedah penentuan awal Ramadan adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Menurut kenyataan itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan tarikh permulaan puasa pada malam berkenaan menerusi siaran radio dan televisyen.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Ramadan ialah pada petang Selasa, 17 Februari 2026 Masihi bersamaan 29 Syaaban 1447 Hijrah,” menurut kenyataan tersebut.

Sebanyak 29 lokasi di seluruh negara diperkenankan sebagai tempat cerapan rasmi, antaranya Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail di Pontian, Johor dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Tanjung Bidara, Melaka.

Turut menjadi lokasi cerapan ialah Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang di Port Dickson; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting; Balai Cerap Selangor di Sabak Bernam serta Pantai Pasir Panjang, Manjung di Perak.

Selain itu, cerapan turut dijalankan di Pusat Falak Sheikh Tahir, Pulau Pinang; Kampung Pulau Sayak dan Menara Alor Setar, Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; serta Balai Cerap KUSZA di Setiu, Terengganu.

Di Kelantan, lokasi yang terlibat ialah Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Kuala Krai dan Menara SEDC di Kota Bharu.

Sementara itu di Sabah, Sarawak dan Pahang, cerapan dilakukan di beberapa lokasi termasuk Pusat Falak Miri, Teluk Bandung Kuching, Bintulu, Balai Cerap Al-Biruni Putatan, Gunung Berincang Cameron Highlands serta Menara Kuantan 188.

Lokasi lain ialah Menara Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain di Kuala Perlis.

Penetapan tarikh awal Ramadan amat dinanti-nantikan umat Islam setiap tahun kerana ia menandakan permulaan ibadah puasa yang merupakan salah satu rukun Islam.


Tag :

Artikel Berkaitan