• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Tasik Kenyir 'Bird Watching Destination' Temukan 40 Spesies Baharu Burung

HULU TERENGGANU, 27 Mac - Tasik Kenyir yang terkenal sebagai “Kenyir Hornbill Valley” merekodkan tambahan 40 spesis burung menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 336 spesis burung sudah berada di sekitar kawasan itu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris berkata spesis burung baharu termasuk yang dikategorikan sebagai terancam kembali berhijrah ke Tasik Kenyir termasuklah burung sewah tekukur besar, burung hantu kuang kuik, burung tukang kelab dan burung sultan tit

“Kenyir Hornbill Valley di Bukit Lawit, Tasik Kenyir adalah antara 125 lokasi di Asia Tenggara yang terbaik untuk aktiviti melihat burung.

“Burung Enggang juga dapat dilihat dengan mudah di Tasik Kenyir. Lebih menarik lagi, sebanyak 9 spesis burung enggang (Hornbill) terdapat di Tasik Kenyir  termasuk yang terancam iaitu tebang mentua atau helmeted hornbill,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Kenyir Bird & Nature Quest (KBNQ) 2022 di sini, semalam. 

Katanya, ini membuktikan bahawa, ekosistem dan alam semulajadi di Tasik Kenyir yang sentiasa terjaga dan lestari menjadi daya penarik kepada burung – burung untuk berhijrah ke lokasi tersebut.

Tambah beliau lagi, penganjuran Kenyir Bird & Nature Quest telah melakarkan kejayaan dalam penjenamaan Tasik Kenyir sebagai “Kenyir Hornbill Valley” yang telah tersenarai antara 125 lokasi aktiviti melihat burung terbaik di Asia Tenggara.

“Pengiktirafan ini dicapai setelah Tasik Kenyir tercatat dalam salah satu buku pelancongan utama di dunia iaitu The Lonely Planet,” kata Razali.