• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Tasik Kenyir Disasarkan Jadi Taman Geo Park Akhir Tahun Ini

KUALA TERENGGANU, 15 Februari - Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) mensasarkan kawasanT asik Kenyir, Hulu Terengganu sebagai Taman Geo (Geo-Park) bakal menjadi realiti menjelang akhir tahun ini.

Pengarah UPEN, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, pihaknya kini sedang dalam usaha untuk merealisasikan perkara tersebut yang bakal menjadi tarikan terbaharu di tasik buatan manusia tersebut.

Katanya, langkah ke arah itu kini kembali aktif sebaik mendapat persetujuan kerajaan negeri dengan membenarkan UPEN untuk menyelaras serta bersetuju Pejabat Daerah Hulu Terengganu (PDHT) mengetuai perancangan itu.

Tambah beliau, buat permulaan pihak berkaitan  sudah menganjurkan Bengkel Pemurnian Dossier Geopark Tasik Kenyir  bersama 15 jabatan dan dua universiti terpilih termasuk Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Universiti Malaysia Terengganu, Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Terengganu serta  PDHT.

“Hasil rumusan bengkel akan dibentang kepada Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri dalam tempoh terdekat dan seterusnya diangkat kepada Jawatankuasa Geopark Kebangsaan (JGK) untuk direalisasikan.

“Pihak kami berharap, usaha kali ini yang dibarisi  pakar penyelidik  dan beberapa pengkaji  benar-benar berjaya bukannya projek  rancang dan dibiarkan tanpa tujuan atau diibaratkan`touch and go’.

“Taman Geo aset penting bagi Terengganu dan bakal memberi manfaat daripada pelbagai sudut termasuk sektor pelancongan, ekonomi penduduk, peluang pekerjaan, pendapatan negeri dan menarik minat lebih ramai pelabur,” katanya.

Berdasarkan rekod,  perancangan menjadikan Taman Geo, Tasik Kenyir bermula sejak 2015 dan pada 2017 segala dokumen berkaitan diangkat kepada  JGK tetapi gagal disebabkan beberapa faktor termasuk tiada pihak yang bersetuju untuk mengetuai rancangan itu.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Bengkel Pemurnian Dossier Geopark Tasik Kenyir, di Hotel Permai, anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Jabatan Mineral dan Geosains Terengganu di sini, hari ini.

Tun Ahmad Faisal turut menjelaskan pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo tidak akan membebankan mana-mana pihak atau menjejaskan pendapatan sedia ada kerana tidak membabitkan pewartaan sebaliknya hanya perlu dijenamakan semula.