• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Taska Permata WDI Akan Berpindah April Ini

HULU TERENGGANU, 4 Disember - Kerajaan negeri bakal memindahkan operasi Taska Permata Wisma Darul Iman (WDI) ke premis baharu April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata premis berkenaan berhampiran dengan premis sedia ada tetapi saiz premis tersebut lebih kecil berbanding premis tersebut.

Katanya, jumlah kanak-kanak di taska itu kini seramai 120 orang manakala premis baharu nanti hanya dapat menampung 70 orang kanak-kanak sahaja.

"Ibu bapa berkenaan diminta bertenang dan beri kepercayaan kepada kerajaan untuk cuba membantu untuk menyelesaikan masalah berkaitan ," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Graduasi Taska Permata Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) Peringkat Parlimen Hulu Terengganu di Dewan Yayasan Salim, Taman Hadhari Tok Randok di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah YPK Ahmad Faris Abdul Razak, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perkembangan Awal Kanak-kanak YPK, Siti Khatijah Sapei dan Pegawai YPK Hulu Terengganu Faizal Haron.

Maliaman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata kerajaan sedang mengumpul maklumat berkaitan permasalahan di Taska terbabit dan kesulitan ibu bapa kepada kanak-kanak berkenaan akan diperhalusi dan diselesaikan secepat mungkin.

"Saya sedang mengumpul maklumat dari pegawai saya dan meneliti segala maklumat tersebut sedikit masa lagi," ujarnya.

Menurutnya taska terbabit telah beroperasi selama dua tahun dan mendapat sambutan mengalakkan dari kakitangan pejabat kerajaan negeri itu.


Tag: