• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Tawaran Kerja RM8 Juta Untuk 139 Kontraktor


Menteri Besar bergambar bersama kontraktor selepas penyerahan surat tawaran Kerja JKR Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, hari ini. Foto oleh Tg Syamim Tg Ismail


Seramai 139 kontraktor menerima surat tawaran kerja melibatkan peruntukan lebih RM8 juta bagi melaksanakan kerja inden, undi elektrik, undi dan mekanikal di seluruh Terengganu bermula tahun ini.

Penyerahan surat tawaran Kerja Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, hari ini.

Ahmad Razif juga berharap semua kontraktor yang terpilih dan terlibat dengan projek berkenaan akan terus berjaya pada masa akan datang serta mewarisi perusahaan kepada keluarga dan pewaris yang sepatutnya.



“Para kontraktor binaan di negeri ini juga diingatkan supaya tidak ‘mengalibabakan’ atau meminjamkan lesen mereka kepada pihak lain untuk melaksanakan projek.

“Kita juga mahu memastikan setiap projek yang diperolehi ini dapat dilaksanakan sendiri oleh kontraktor,  tidak menjualnya kepada pihak lain sehingga mengabaikan kualiti projek akibat mengambil untung atas peruntukan projek,”katanya.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri, Ir Rosli Othman dan Pengarah Kerja Raya Terengganu, Ir. Che Kamaruddin Bahar.



Ahmad Razif  berkata, tindakan meminjamkan lesen kepada pihak lain boleh memberi kesan kepada pemegang lesen jika pihak berkenaan tidak mampu menyiapkan sesuatu projek mengikut piawaian ditetapkan.

Beliau juga berharap, semua kontraktor terlibat dapat merancang dan melaksanakan kerja mengikut waktu dijanjikan dan menghasilkan kerja yang bermutu tinggi.

Tambah beliau, JKR juga perlu sentiasa memantau semua projek berkenaan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut spesifikasi dan melancarkan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada semua.


Tag: