• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

TDM Bantu 200 Asnaf Jerteh

KUALA TERENGGANU, 30 Mei -TDM Berhad dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh hari ini telah menyantuni 200 asnaf melalui program TDM Bersama Masyarakat Jerteh yang diadakan di Dewan Masjid Hadhari Jerteh, Besut.

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, ia merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab kepada masyarakat. 

"Kami warga TDM sedar bahawa masih wujud sebilangan masyarakat yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan seharian.

"Kalau kita lihat dari segi kos sara hidup kini, kesulitan kenaikan harga barang merupakan masalah utama yang membelenggu sebilangan besar rakyat.

"Kali ini kami fokus kepada daerah Besut dalam usaha menjalin hubungan dan memastikan agihan kepada mereka yang memerlukan dirasai oleh semua lapisan masyarakat di peringkat daerah," katanya. 

Beliau memaklumkan, objektif utama TDM mengadakan program tersebut adalah untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan, dengan harapan sedikit sebanyak dapat meringankan serta membantu kelangsungan hidup penerima.

"TDM juga merupakan salah satu anak syarikat negeri yang sentiasa menyokong usaha baik kerajaan serta program-program kerajaan terutamanya yang melibatkan kebajikan dan sosial masyarakat," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, inisiatif yang dilakukan pihak TDM itu seharusnya menjadi contoh kepada pihak lain. 

"Berbakti kepada masyarakat serta cakna kepada mereka yang memerlukan adalah menjadi tanggungjawab bersama. 

"Semoga hubungan silaturahim yang terjalin terus berkekalan dan ukhuwah sesama kita semakin kukuh melalui program TDM Bersama Masyarakat ini," katanya.