• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

TDM Berhad Bayar RM2.9 Juta Perkongsian Keuntungan Kepada LTAWNT

KUALA TERENGGANU, 17 Januari- TDM Berhad membayar RM2,939,941 kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) sebagai sebahagian daripada perjanjian perkongsian keuntungan usaha sama syarikat.

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, TDM Berhad sekali lagi berpeluang menjana keuntungan usaha sama yang lebih besar buat LTAWNT.

“Keuntungan ini bukti komitmen syarikat dalam memberikan pulangan yang mampan bagi setiap pelaburan yang diamanahkan. 

“Pencapaian ini turut disumbangkan oleh pelaksanaan pelan perniagaan strategik syarikat yang dijalankan secara berdisiplin dan sokongan berterusan tidak berbelah bahagi daripada kakitangan syarikat yang berdedikasi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Replika Cek Bayaran Perkongsian Keuntungan Kepada LTAWNT di Wisma Darul Iman, hari ini.

Pada majlis tersebut, Najman yang mewakili TDM Berhad menyerahkan cek bayaran perkongsian keuntungan kepada Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A Rahman @Yusof yang mewakili syarikatnya sambil disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja.

Mengulas lanjut, Najman berkata, menerusi usaha sama yang dimeterai oleh syarikat pada tahun 1996, ladang kelapa sawit tersebut diuruskan oleh bahagian perladangan TDM iaitu TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP).

“LTAWNT memiliki 1,336 hektar ladang kelapa sawit yang terletak di Ladang Air Putih, Kemaman milik TDMP,” ujarnya.

Katanya, TDM Berhad juga secara strategik akan terus memberi tumpuan dalam meningkatkan jualan Minyak Sawit Mampan Diperakui (CSPO) dan Isirung Sawit Mampan Diperakui (CSPK) bagi memanfaatkan premium CSPO dan CSPK yang lebih tinggi.

"TDM akan terus mengekalkan momentum dengan memberi tumpuan penuh dalam meningkatkan kelestarian dan jangka hayat Bahagian Perladangan. 

“Kami yakin perkara ini dapat dicapai dengan menggunakan teknik inovatif bagi meningkatkan kecekapan, mengurangkan keperluan tenaga buruh, sekaligus mencapai hasil jangka panjang yang maksimum,” ujarnya.