• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

TDM Berhad Berbasikal Rentasi Lokasi Bersejarah

KUALA TERENGGANU, 27 September – TDM Berhad meneruskan aktiviti berbasikal dengan menjelajah pelbagai tempat bersejarah dalam Program Gateh Jejak Sejarah siri kedua di Kuala Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Zainal Abidin Shariff berkata, program itu merupakan kesinambungan daripada siri pertama di Kuala Berang dengan menggunakan format berbasikal sambil menjejaki lokasi dan bangunan yang mempunyai nilai tersendiri.

"Selain menumpukan kepada perniagaan teras di bahagian perladangan dan penjagaan kesihatan, TDM turut menitikberatkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berbentuk ilmiah dengan memberi fokus kepada tiga sudut iaitu sejarah, budaya dan bahasa dalam mengolah dan mempelbagaikan aktiviti untuk program CSR TDM.

“Program ini turut diadakan secara rombongan berbasikal kerana ia lebih praktikal untuk menjejaki kawasan bersejarah sepanjang laluan serta menggalakkan nilai riadah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum pelepasan Program Gateh Jejak Sejarah siri kedua sempena bulan Kemerdekaan di Taman Tamadun Islam (TTI), pagi semalam.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah TDM Berhad, Mohd Kamaruzaman A Wahab.

Acara itu bermula pada pukul 8.30 pagi di TTI melibatkan jarak 25 kilometer, melalui Masjid Tokku Paloh, Masjid Tokku Chabang Tiga, Masjid Hiliran, Masjid Abidin, Bukit Puteri, Bukit Keledang, Rumah Tele, Rumah Tengku Ngah Aisyah dan Rumah Berdinding.

Menurut Zainal Abidin, penyertaan dalam siri pertama mendapat sambutan yang tinggi seramai 100 orang staf TDM Berhad.

"Tetapi pada siri kedua hanya 50 orang yang terlibat di mana pergerakan adalah mengikut pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Untuk siri seterusnya, lokasi pilihan seperti Dungun, Setiu dan Kemaman akan dikaji untuk kesesuaian supaya tempat-tempat bersejarah yang kurang diketahui umum dapat dikunjungi dan dipelajari," tambah beliau.