• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 12 Mei- Kumpulan TDM Berhad memperkenalkan logo baharu syarikatnya dalam usaha memacu pertumbuhun lebih cemerlang pada masa akan datang.

Seiring penjenamaan semula, anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu itu turut memperkenalkan Wisma TDM yang dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, semalam.

Dr Samsuri dalam ucapannya memaklumkan, TDM dilihat sebagai sebuah syarikat yang mempunyai kualiti dan integriti terhadap masyarakat dan alam sekitar yang telah menyumbangkan kepada penerimaan pelbagai pengiktirafan dan anugerah bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah antarabangsa. 

"Menekuni perjalanan TDM, ada jatuh bangun, penuh rentak dan liku untuk sampai ke tahap yang ada pada hari ini.

"Terkini, saya difahamkan TDM meraih pencapaian pendapatan tertinggi pada tahun 2022 iaitu RM614.2 juta.

"Kita doakan dengan pengenalan wajah baharu TDM ini, TDM akan terus berkembang maju dan moga mendapat keberkatan disisi Allah SWT," katanya.

Tambahnya, negeri Terengganu turut berbangga apabila bahagian perladangan TDM menjadi syarikat perladangan pertama di Terengganu diperakui dengan Pensijilan Kelestarian dan Karbon Antarabangsa (ISCC) yang diluluskan oleh Suruhanjaya Eropah (ISCC EU) pada tahun 2021 dan menerima pengiktirafan berkenaan untuk tahun kedua berturut-turut.

"Bagi segmen penjagaan kesihatan pula, pada 29 Mac 2023 di Shangri-La Singapura, KMI Healthcare menerima dua anugerah bagi pelaksanaan program mesra ibadah untuk Pesakit bagi kategori Inisiatif Penjagaan Pesakit Terbaik dan Inisiatif Inovasi Penyampaian Perkhidmatan Terbaik di Healthcare Asia Awards 2023," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin menyifatkan, konsep dan suasana 'segar' itu akan menyuntik semangat baru kepada seluruh warga syarikatnya.

"Penjenamaan semula ini kita akan buat berterusan, di mana ia menggambarkan 'how we are moving forward' dengan reka bentuknya betul-betul ambil kira citarasa tempatan.

"Kita mengharapkan ia akan selaras dengan produk-produk baharu kita akan datang.

"Selain itu, sebelum ini kita menyewa berdekatan Masjid Abidin (Masjid Negeri Terengganu) dan kini kita lebih selesa dengan bangunan sendiri.

"Jadi, kita ada penjimatan bulanan dan penjimatannya agak besar berbanding renovasi yang kita buat disini dengan pulangan modal sekitar tiga ke empat tahun," katanya.

 

 

 


Tag: