• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

TDM Dekati Komuniti, Hulur Bantuan

SETIU, 28 Mac - Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Terengganu, TDM Berhad bersama TDM Plantation meneroka ruang baharu untuk mendekati masyarakat yang terkesan dengan wabak pandemik COVID-19 selepas mengadakan program 'TDM Prihatin Komuniti' semalam.

Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, inisiatif tersebut juga merupakan Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) bagi menjalin hubungan dengan komuniti di Sungai Tong, khususnya di kawasan Ladang Bukit Bidong, Ladang Fikri, Ladang Jaya, Ladang Pelung, Ladang Tayor dan Kilang Kelapa Sawit Sungai Tong.

"Selaras dengan misi syarikat untuk menzahirkan 'Corporate Citizenship' sebagai sebuah organisasi yang sentiasa memberikan nilai tambah yang positif kepada masyarakat.

"Secara tidak langsung turut berperanan dalam memupuk dan menyemai semangat kekitaan didalam komuniti berteraskan konsep perpaduan melalui saling bekerjasama serta sentiasa mengamalkan sikap toleransi antara satu sama lain," ujarnya.

 

Beliau berkata demikian, pada program tersebut, di kompleks Sungai Tong, di akademi TDM, di sini.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.

Najman berkata, selain daripada pelbagai aktiviti syarikat bersama komuniti, sumbangan kepada 61 keluarga terpilih turut disampaikan.

"Program ini akan diteruskan pula di tempat yang lain dimana syarikat ini beroperasi iaitu Kompleks Sungai Besi dan kompleks Kemaman menjadi lokasi pilihan untuk bersama -sama dengan komuniti di sana,"katanya.

Sementara itu, Mohd Nor berkata kerajaan negeri sentiasa mencari inisiatif bagi mengadakan program atas tujuan serta hasrat yang murni di dalam memastikan komuniti sentiasa berada dalam keadaan sejahtera.

"Sebagaimana program pada hari ini dapatlah difahami ianya mengandungi objektif yang jelas.

"Secara tidak langsung menjadi diantara salah satu agenda dalam menterjemahkan moto kerajaan iaitu Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera (TMBS)," ujarnya.


Tag: