• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 15 Januari – TDM Berhad selaku anak syarikat kerajaan negeri (GLC) mengekalkan nilai tajaan bernilai RM500,000 bagi musim 2023 kepada pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG).

Pengarah eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, prestasi dan kejayaan TSG yang cemerlang dalam menakluki pelbagai kejohanan di seluruh dunia memberi keyakinan kepada Kumpulan TDM untuk mengekalkan penajaan bagi musim ini.

“Pencapaian pasukan TSG yang diurustadbir oleh Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TPCT) amat membanggakan apabila pada musim 2022, pasukan TSG sekali lagi dinobatkan sebagai juara Jelajah Asia UCI, kedudukan ke-31 dunia daripada 212 pasukan profesional serta kedudukan ke-3 pasukan Benua Dunia UCI. 

“Terkini, TSG telah berjaya memenangi jersi merah selaku Raja Bukit serta jersi putih selaku Pelumba Terbaik Asia dan Pasukan Terbaik Asia Le Tour de Langkawi edisi ke-26 Oktober 2022. 

“Kejayaan ini menjadi kebanggaan kepada kami sebagai penaja dan sebagai tanda sokongan kepada pasukan yang diurus tadbir oleh 90 peratus anak kelahiran Terengganu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa penglibatan TDM bersama-sama bahagian penjagaan kesihatan syarikat, Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) keterujaan dalam bekerjasama dengan entiti besar seperti TSG. 

“Kolaborasi ini penting bagi mengetengahkan produk-produk baru atau sedia ada sebagai pelaburan strategik dalam membawa jenama TDM dan KMI Healthcare di dalam Malaysia seterusnya dapat dikembangkan sehinggga ke persada antarabangsa,” tambahnya.

Terdahulu, Majlis Pelancaran Majlis Memperkenalkan Pelumba dan Penaja TSG bagi musim 2023 dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan nilai tajaan keseluruhan berjumlah RM11 juta.

 


Tag: