• 13 Nov 2024 | 11 Jamadil Awal 1446

TDM Sasar Pendapatan Lebih RM600 Juta Tahun Ini

KUALA TERENGGANU, 6 Jun - TDM Berhad menyasarkan pendapatan lebih RM600 juta tahun ini melalui dua segmen perniagaan iaitu perladangan dan penjagaan kesihatan.

Pengerusi TDM, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, anak syarikat kerajaan negeri itu telah berjaya merekodkan pendapatan sebanyak RM594.4 juta pada tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya optimis dengan sasaran itu berikutan prestasi memberangsangkan daripadadua segmen perniagaan tersebut. 

Menurutnya, walaupun bahagian perladangan menunjukkan sedikit penurunan pada tahun lalu, namun Kumpulan TDM telah bersedia untuk berdepan fasa pertumbuhan seterusnya yang memberi tumpuan kepada pengembangan, inovasi dalam operasi untuk meraih keuntungan.

"Bagi segmen perladangan, kami menjangkakan margin yang lebih baik kerana kami meramalkan peningkatan hasil per hektar berbanding situasi sebelum ini.

"Dengan komitmen teguh terhadap pertumbuhan dan ketahanan yang lestari, kami bersedia untuk mengembangkan perniagaan perladangan kami dengan memasukkan pendigitalan dan mekanisasi dalam operasi perladangan bagi meningkatkan produktiviti dan memaksimumkan hasil.

"Pada masa yang sama, kami akan memantau turun naik harga komoditi melalui operasi yang telah diperkemas dan pengurusan kos yang ketat," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan secara atas talian bertempat di Elysium Skybridge, Jambatan Angkat Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, bahagian penjagaan kesihatan telah mencatatkan kemajuan yang ketara sepanjang tahu lalu terutamanya disumbangkan oleh pencapaian mengagumkan KMI Kuantan Medical Centre dan KMI Kuala Terengganu Medical Centre. 

Katanya, pertumbuhan yang mengagumkan itu disebabkan oleh peningkatan bilangan pesakit, peningkatan pendapatan purata setiap pesakit dan kadar Penghunian Katil (BOR) yang jauh lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

"Bermula tahun depan, projek pembinaan hospital baharu di Chukai akan bermula dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027.

"Selain itu, kita juga ingin menambah beberapa katil di KMI Kuantan dan setakat ini semua perancangan itu mengikut jadual asal yang telah ditetapkan," jelasnya.

Tambah beliau, KMI Healthcare sedang mengembangkan kapasiti melalui pengambilalihan hospital 'brownfield' membangunkan kemudahan 'greenfield' dan mengembangkan pusat perubatan sedia ada secara progresif.