KUALA TERENGGANU, 1 Februari – TDM Berhad menganjurkan Program ‘TDM Go Green: Back to School & Kesedaran Kitar Semula’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kubu, Kemaman sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dalam menyokong pembangunan pendidikan serta memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan murid sekolah rendah.
Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation Sdn Bhd, Hamdan Ibrahim berkata, program tersebut melibatkan penyertaan 300 murid dan guru SK Padang Kubu serta warga Kumpulan TDM.

“Sepanjang program berlangsung, murid didedahkan kepada sesi perkongsian interaktif mengenai kepentingan menjaga kebersihan persekitaran, selain aktiviti praktikal berasaskan konsep ‘hands-on recycling’ bagi meningkatkan kefahaman mereka terhadap proses pengasingan sisa dan amalan kitar semula yang betul,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Program ini turut diserikan dengan pengagihan beg sekolah serta alatan tulis sebagai persediaan murid menghadapi sesi persekolahan tahun baharu,” ujarnya.

“Kami percaya bahawa pendidikan awal merupakan asas penting dalam membentuk generasi yang lebih bertanggungjawab dan berdaya saing. Melalui pendekatan bersepadu ini, kami berharap murid dapat mengamalkan gaya hidup lestari bukan sahaja di sekolah, malah dalam kehidupan seharian mereka,” ujarnya.
Katanya, TDM akan terus komited melaksanakan program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada komuniti setempat, khususnya dalam aspek pendidikan, alam sekitar dan pembangunan modal insan demi menyokong kemajuan mampan Negeri Terengganu.