• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

‘Teamwork’ Tunjang Kecemerlangan SAHUT

KUALA TERENGGANU, 28 Disember- Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT) yang mula beroperasi Januari 2011 turut membuka ruang kepada anak-anak keluarga B40 yang cemerlang untuk meneruskan pelajaran peringkat menengah di sekolah berasrama penuh.
Terletak di Kampung Tajin, Kuala Berang sekolah ini menyediakan persekitaran tenang kepada pelajar untuk menuntut ilmu.
Biarpun bergelar ‘sekolah baru’ SAHUT berupaya mencipta pelbagai kecemerlangan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa antaranya menerusi prestasi akademik serta pertandingan inovasi yang disertai pelajar.
Selalu kita dengar, kejayaan sesebuah sekolah bergantung kepada peranan dan kewibawaan pengetuanya yang berperanan memberi galakan dan sokongan kepada guru serta pelajar disamping mewujudkan persekitaran yang kondusif, sihat serta memberangsangkan proses pengajaran dan pembelajaran.

Perkara tersebut turut diakui Pengetua SAHUT, Mohd khairi Muda yang telah menabur bakti di sekolah tersebut sejak empat tahun lalu.
Beliau lebih gemar menggunakan pendekatan ‘teamwork’ atau kerja berpasukan dan telah menjadi amalan yang diterapkan dalam kalangan guru-gurunya.
“Bagi saya, sebagai pengetua kita perlu menjadi contoh kepada yang lain selain memberi penghargaan dan inspirasi kepada para guru supaya mereka lebih bermotivasi untuk menaikkan semangat pelajar.
“Antara perkataan yang sukar diungkapkan tetapi memberi kesan yang mendalam kepada penerima adalah ‘terima kasih’, justeru saya sangat mementingkan perkara sebegini agar hubungan antara guru menjadi lebih akrab,” ujarnya.
Katanya, kecemerlangan SAHUT turut dibantu oleh guru-guru yang bekerja keras, komited dan sentiasa bersemangat tinggi untuk melihat kejayaan pelajar.
“Setakat ini, kita mempunyai 65 guru dan 604 pelajar. SAHUT menyasarkan ada pelajar yang dapat mencipta sejarah baru dengan mendapat 9A+ dalam peperiksaan SPM tahun ini dan kita menjanjikan hadiah yang lumayan iaitu wang tunai sebanyak RM7,000,” ujarnya.


 


Tag: