• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Tebatan Banjir Perlu Dibina Di Setiu

PUTRAJAYA, 9 Disember– Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) perlu memberi penekanan bagi projek rancangan tebatan banjir di Setiu bagi mengatasi masalah tersebut yang sering melanda kawasan berkenaan. 

Ahli Parlimen Setiu Shaharizukirnain Abd Kadir berkata perkara tersebut perlu disegerakan kerajaan persekutuan bagi menyelesaikan masalah utama yang dihadapi rakyat di daerah tersebut  terutama apabila tibanya musim tengkujuh.

“Selain itu, rancangan tebatan banjir di sungai Renek, Jabi juga amat diperlukan kerana apabila berlakunya banjir akibat limpahan sungai tersebut,ia amat memberi kesan kepada beberapa kampung berdekatan termasuk kampung Tok Dor, Anak Ikan, Padang Lengkuas, Bukit Jeruk dan beberapa kampung lagi.

"Kesan banjir ini juga turut menjejaskan pesawah-pesawah padi di sekitar kawasan itu.Malah ia menjejaskan kawasan penanaman padi seluas 800 hektar. Melibatkan skim Bukit Jeruk, Gong Kelikong, Kepala Gajah dan Gong Macang," ujarnya

Beliau berkata demikian ketika berucap di persidangan Dewan Rakyat pada hari ini, dimana beliau telah membangkitkan persoalan mengenai perancangan membina tebatan banjir di Kampung Tok Jiring dan Batu Rakit, pada hari ini.

Tambah beliau, limpahan air di sungai Setiu juga sering mengundang kepada berlakunya bencana. 

“Antara kawasan bersiko ialah Kampung Guntung, Kg Tasik, Kg Chalok, Kg Gong Terap, Kg Bukit Kemudu, Kg Permaisuri dan Kg Nyatuh. Kawasan ini juga memerlukan pembinaan rancangan tebatan banjir bagi menyelesaikan masalah ini,"ujar beliau.


Tag: