Berita :
Tekanan Air Rendah, Paip Usang Antara Masalah Bekalan Air Setiu - Azmi
Tekanan Air Rendah, Paip Usang Antara Masalah Bekalan Air Setiu - Azmi
Ahmad Zaeem Zainudin
2 jam yang lepas
104

KUALA TERENGGANU, 22 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof membangkitkan isu bekalan air bersih yang disifatkan semakin meruncing di kawasan Langkap dan sebahagian besar di daerah Setiu.

Menurut beliau, masalah utama yang dihadapi penduduk melibatkan tekanan air rendah, paip lama yang kerap bocor serta gangguan bekalan tidak berjadual, khususnya melibatkan perkhidmatan oleh Syarikat Air Terengganu (SATU).

"Antara masalah yang sering dihadapi oleh rakyat bukan sahaja penduduk di Langkap tetapi sebahagian besar di dalam kawasan daerah Setiu adalah tekanan air yang rendah. 

"Selain itu, paip lama yang masih digunakan sering pecah serta menyebabkan gangguan bekalan air yang tidak berjadual akibat kerja-kerja pembaikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan menjunjung kasih titah Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, semalam.

Tegasnya, keadaan tersebut amat membebankan rakyat kerana bekalan air merupakan keperluan asas harian.

"Gangguan yang kerap berlaku menjejaskan rutin harian termasuk urusan rumah tangga dan perniagaan," jelasnya.

Azmi turut mendedahkan bahawa gangguan berpanjangan memaksa penduduk di beberapa kawasan pedalaman mencari alternatif dengan menggunakan air bukit yang ditadah dan disalurkan ke rumah masing-masing.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan aduan terkini daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Payung mengenai kerosakan serius paip utama.

"Saya dimaklumkan beberapa hari lepas, paip utama daripada simpang Ulu Kasar ke kampung tersebut mengalami kebocoran di tujuh lokasi serentak. 

"Jadi boleh dibayangkan bagaimana bekalan air hendak sampai ke kampung jika berlaku keadaan sedemikian," ujarnya.

Menurut beliau, masalah tersebut berlanjutan selama tiga hari sejak Sabtu lalu.

Sehubungan itu, Azmi mencadangkan agar kerajaan negeri mengambil tindakan lebih menyeluruh termasuk menggantikan paip lama, menaik taraf kapasiti loji rawatan air (LRA) serta memperkukuh sistem penyelenggaraan dan tindak balas bagi memastikan gangguan dapat ditangani dengan lebih pantas.

Beliau menggesa langkah proaktif dan penyelenggaraan menyeluruh infrastruktur air dilaksanakan bagi menjamin kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar yang masih berdepan isu kemudahan asas seumpama ini.


Ketupat

Artikel Berkaitan