• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Terbaru! Pemeriksaan Di Tiga Laluan Masuk Ke Terengganu

KUALA TERENGGANU, 14 Mei - Berkuat kuasa semalam, semua kenderaan dari arah selatan, pantai barat dan Pahang akan diperiksa di tiga laluan sebelum dibenarkan masuk ke Terengganu.

Ketua Polis negeri, Dato' Roslee Chik berkata, pemeriksaan melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) itu akan dilakukan di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing bagi kenderaan yang menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 2.

"Jadi, semua pengguna LPT 2 akan dilencongkan ke Hentian R&R Perasing untuk diperiksa," katanya kepada media.

Sementara itu, Roslee memaklumkan, kenderaan yang datang dari arah Kuantan dan menggunakan laluan pantai termasuk melalui Kampung Cherating pula diperiksa di sempadan Pahang-Terengganu di Kampung Chendor.

"Selain SJR di sempadan Pahang-Terengganu di Kampung Chendor, SJR juga turut diadakan Jalan Jerangau-Jabor.

"Iaitu bagi kenderaan yang menggunakan laluan daripada Felda Bukit Goh, Kuantan dan Felda Neram, Kemaman akan diperiksa ketika melalui SJR di Jalan Jerangau-Jabor," jelasnya.

Menurut beliau, kaedah itu dilakukan bagi memastikan semua pemandu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti diumumkan kerajaan.

"Kenderaan yang tidak mempunyai kelulusan merentas negeri akan diarahkan untuk berpatah balik dan ia berkuat kuasa sehingga 9 Jun," tegas Roslee.

Dengan makluman terbaharu ini juga, laporan awal semalam yang mengatakan hanya satu laluan masuk ke Terengganu iaitu LPT2 (laluan Perasing) dibuka tidak lagi terpakai.

Dalam pada itu, Roslee turut memaklumkan kebenaran untuk merentas daerah ke daerah di negeri ini dibenarkan.


Tag: