• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Terengganu Akan Baik Pulih Produk Pelancongan Kurang Berdaya Maju


Kerajaan negeri akan membaik pulih segera produk pelancongan yang kurang berdaya maju bagi meningkatkan pulangan kepada ekonomi negeri.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, antara produk yang akan dibaikpulih termasuk Taman Tamadun Islam dan Masjid Kristal.

"Bila kami ambil alih kerajaan, produk ini sudah ada...jadi tidak wajar jika kami tinggal begitu sahaja termasuk projek-projek lain yang sedia ada.

"Kita kena cari jalan bagaimana untuk menjadikan projek demikian daripada yang kurang berdaya maju, kurang mendatangkan aktiviti ekonomi kepada projek sedia ada kepada yang mendatangkan hasil..pertamanya kepada masyarakat di kawasan sekitar, kepada pengusaha-pengusaha pelancong termasuk kepentingan kepada kerajaan negeri apabila pelancong datang ke Terengganu,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Peringkat Daerah Hulu Terengganu di Masjid Al Amin Kampung Buluh, Kuala Berang, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya; Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Wan Mohd Wan Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau merangkap Ahli Dewan Undangan Kuala Berang, Dr Mamad Puteh.



Pada majlis yang sama, Ahmad Samsuri dan isteri, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman turut menyampaikan sumbangan raya kepada 51 anak yatim dari DUN Kuala Berang.

Terlebih dahulu, menteri besar meluangkan masa hampir satu jam menghadiri taklimat pembangunan Daerah Hulu Terengganu di Bilik gerakan Pejabat Daerah Hulu Terengganu.



Mengulas mengenai pemberian bonus Aidillfitri untuk 10,600 penjawat awam seluruh Terengganu, beliau berkata keputusan akan diketahui selepas mesyuarat exco pada masa terdekat.

"Kami belum buat keputusan tentang jumlah bonus untuk penjawat awam sempena hari raya kali ini tapi ianya akan diputuskan dalam mesyuarat exco tidak lama lagi," katanya.


Tag: