• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Anjur Himpunan Lembu Sado Khamis Ini

Antara lembu sado yang mencuri perhatian ramai.

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 30 September - Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Vaterinar dan Persatuan Penternak Ruminan Terengganu bakal menganjurkan Himpunan Lembu Sado Pantai Timur (HLSPT) pada tiga hingga lima Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim memaklumkan, perkara itu diputuskan selepas melihat sambutan yang luar biasa daripada pengusaha lembu sado dalam Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Terengganu (HPPNT) 2019.

Katanya, pameran dan pertandingan lembu sado turut menjadi tumpuan utama pengunjung HPPNT sejak program itu bermula Rabu lalu.

"Lantaran permintaan tinggi daripada para pemilik lembu sado dan juga ramai yang tidak dapat menyertai HPPNT kerana kuota pada kali ini sangat terhad.

"HLSPT bertempat di Dataran Pekan Jabi pada tiga hingga lima Oktober ini dengan hadiah sebanyak lima ekor lembu, Insya-Allah," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Lembu Sado sempena HPPNT, di Dataran Pekan Jabi, di sini kelmarin.

Azman turut berkata, penyertaan adalah terbuka kepada semua lembu yang dipelihara di negeri-negeri Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang dengan konsep pasar ternakan.

"Insya-Allah, kita akan menghimpunkan seramai yang mungkin. Ia  juga akan dibuat dengan konsep pasar ternakan. Bagi yang membawa lembu tetapi tidak mahu membawa balik, dia boleh jual terus di pasar ini.

"Kita akan jadikan acara HLSPT ini sebagai acara tahunan dengan dataran Pekan Jabi ini akan jadi tuan rumah," tambah beliau.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai HLSPT dan mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi saudara Amirul di talian 019-9222757.


Tag: