• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Terengganu Antara Negeri Terawal Perkenal Kad Perniagaan NFC

KUALA TERENGGANU, 13 Jun - Terengganu antara negeri terawal memperkenalkan kad perniagaan yang mempunyai keupayaan untuk menggunakan teknologi Komunikasi Medan Dekat (NFC) dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, inisiatif tersebut bertujuan memudahkan urusan pertukaran maklumat digital dan meningkatkan kecekapan dalam perkhidmatan awam.

“Melalui usahasama TAJDID Corporation Sdn Bhd, kita telah bangunkan platform kad perniagaan NFC sebagai satu produk digital yang menggabungkan Internet Pelbagai Benda (IoT) dan teknologi pengkomputeran awam bersama kad fizikalnya.

“Kalau sebelum ini apabila berjumpa dengan tetamu/pelanggan kita memberikan ‘business card’ (kad perniagaan) tetapi dengan keupayaan teknologi NFC kita hanya menggunakan satu kad sahaja yang mana segala maklumat peribadi boleh disimpan terus ke dalam telefon,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Kad Perniagaan NFC Bagi Pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Nurkhuzaini berkata, semua pegawai kerajaan negeri digalakkan untuk menggunakan kad NFC tersebut bagi mengukuhkan sistem pengurusan dan memudahkan urusan komunikasi di kalangan pegawai-pegawai kerajaan.

“Bagi peringkat permulaan kita memperkenalkan kad ini di kalangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum diperluaskan kepada jabatan, agensi, pejabat daerah, GLC dan lain-lain dalam masa terdekat,” ujarnya.

Katanya, penggunaan kad NFC juga secara tidak langsung dapat menjimat kos di peringkat pentadbiran.

“Pengunaan kad NFC juga akan mengurangkan kos perkhidmatan kepada pentadbir contohnya, apabila berlakunya pertukaran kakitangan awam daripada suatu jabatan ke jabatan lain, kalau guna ‘business card’ yang konvesional perlu ‘print’ baru, tetapi yang ini hanya hubungi TAJDID untuk kemaskini maklumat,” ujar beliau.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri turut mengalu-alukan agensi kerajaan persekutuan untuk turut sama menggunakan Kad NFC dalam usaha mentransformasikan penyampaian perkhidmatan digital khususnya di agensi kerajaan dan seluruh warga kerja.