• 26 Jul 2024 | 19 Muharam 1446

Terengganu Bakal Dirikan Kilang LNG

KUALA TERENGGANU, 8 Julai - Terengganu bakal mendirikan kilang ketiga di Malaysia yang membotolkan gas 'Liquefied Natural Gas' (LNG) selepas Johor dan Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata ia akan digunakan untuk keperluan industri yang ada di dalam negara sekali gus menjadi sumber pendapatan baharu Terengganu.

Ujarnya, gas itu diimport dari luar negara dan dibawa masuk ke negeri ini melalui Pelabuhan Kemaman dengan kerjasama syarikat ENH Sdn Bhd.

"Setakat ini Johor dan Melaka membekalkan LNG ini untuk kegunaan industri di sebelah pantai barat dan utara Malaysia iaitu Johor, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak hingga ke Pulau Pinang,

"Sebelah pantai timur belum ada lagi 'bottling plant' dengan diwujudkan di negeri ini, jadi kita akan menguasai pasaran di sebelah pantai timur," ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), mengulas mengenai kilang LNG yang akan dibuka di Terengganu, baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut katanya, ia akan didirikan di tapak tanah kepunyaan EPIC Berhad yang telah dipersetujui antara pihak terlibat dan kini dalam proses akhir untuk menandatangani perjanjian.

"KIta sangat berharap dengan wujudnya kilang atau 'plant' ini kita mampu menguasai pasaran di sebelah Pantai Timur, ia akan menjadikan Terengganu negeri ketiga akan ada 'bottling plant'

"Satu lagi maklumat, di Malaysia import dan eksport LNG ini hanya di Bintulu Sarawak, jadi syarikat ENH yang akan bekerjasama dengan EPIC dengan menyewa tapak anak syarikat kerajaan negeri, mereka juga turut berhasrat menyediakan 'LNG Storage' di Pelabuhan Kemaman.

"Apabila ada 'LNG Storage', produk yang kita import akan disimpan di sana, ini akan menjadikan Kemaman tempat kedua adanya aktiviti import dan eksport ini selepas Bintulu, Sarawak," katanya.


Tag: