lightning-solid
Berita :
Terengganu Jadi Tuan Rumah SDSI 2.0 Wilayah Timur
Terengganu Jadi Tuan Rumah SDSI 2.0 Wilayah Timur
Mastura Jamal Din
13 May 25
1106

TAWAU, 13 Mei - Terengganu bakal menjadi  tuan rumah bagi program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2.0 peringkat Wilayah Timur yang akan berlangsung pada 31 Julai hingga 2 Ogos di Terengganu Trade Centre (TTC).

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman berkata, SDSI 2.0 selama tiga hari itu merupakan inisiatif bagi mengetengahkan produk usahawan dari Terengganu, Kelantan dan Pahang di bawah satu bumbung. 

Katanya, program dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bakal menampilkan keunikan tersendiri dengan menghimpunkan pelbagai produk unik yang menjadi identiti sesebuah daerah dan negeri.

“Dengan adanya showcase ini pembeli, ejen pemasaran, stokis dan lain-lain dapat mewujudkan jaringan perniagaan, sekali gus mengembangkan lagi pasaran produk mereka.

“Saya berharap agar Showcase ini dapat dilaksanakan dengan lancar penyertaan para usahawan dan dimeriahkan dengan kehadiran segenap lapisan masyarakat. 

“Semoga pelaksanaan SDSI 2.0 dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang dan melonjakkan industri-industri yang mencerminkan keistimewaan sesebuah daerah di seluruh negara,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Pelancaran SDSI 2.0 Peringkat Wilayah Borneo di Tawau yang turut menampilkan penyertaan tiga usahawan dari Terengganu iaitu Tokku Lekor, Sutera Spa dan Azzira Craft.

Dalam masa sama, beliau berharap lebih ramai usahawan Terengganu akan menyertai program-program yang mampu mengangkat ekonomi mereka dengan lebih jauh.

Tambah Ariffin lagi, ia juga membuktikan kerajaan negeri sentiasa komited dalam membangunkan usahawan dan terus menyokong mereka menerusi pelbagai inisiatif.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan orang ramai berkunjung ke Showcase SDSI 2.0 untuk merasai keunikan dan kemeriahan acara ini melalui aktiviti jualan pelbagai produk dan menu oleh usahawan SDSI daripada Wilayah Timur.


Tag :

Artikel Berkaitan