• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Bakal Laksana Projek Gabungan Solar dan Pertanian

DUNGUN, 29 Januari – Terengganu bakal melaksanakan projek solar agrivolta yang berintegrasi untuk pembangunan solar dan pertanian. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata ia akan menjadi projek pertama seumpamanya di negeri Terengganu.

Katanya, ia bertujuan bagi menjimatkan tanah supaya bukan hanya memanfaatkan ladang solar sahaja bahkan dapat integrasikan dengan pertanian.

“Insya-Allah ia akan menjadi satu pilot projek dan satu KPI bagaimana integrasi ini boleh digabungkan sekali gus memberi manfaat dari segi teknologi hijau dan keterjaminan makanan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Lawatan Kerja Projek Penanaman Tanaman Kontan Berasaskan Peladangan Agrivolta bertempat di Ladang Rimbunan Kaseh Rantau Abang, Dungun di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli dan Pengarah Besar TADC, Azhar@Wahab Jusoh.

Tambah Dr Azman, projek integrasi antara ladang solar dan pertanian akan dibangunkan secara komersial yang dijangka akan menelan kos sekitar RM200 juta di atas sebidang tanah seluas 200 ekar di Mukim Merang, Setiu.

Tambahnya lagi katanya, bahagian atas akan dibina tenaga solar dan di bawah akan ditanam dengan beberapa tanaman kontan antaranya markisa, melon manis Terengganu dan juga jagung.

“Insya-Allah, kita sasarkan pada suku ke empat tahun 2024 projek ini akan dapat dimulakan.

Tambahnya lagi katanya, pihaknya juga meletakkan keyakinan untuk TADC dan MCT Agriculture membangunkan projek ini di atas dasar rekod kejayaan bagaimana dapat memulihkan projek yang gagal dan terbengkalai di Rimbunan Kaseh di Dungun.

Katanya, untuk menjadi satu kawasan pengeluaran melon manis Terengganu yang utama di negeri ini.

“Jadi kejayaan kita membangunkan kembali Rimbunan Kaseh ini juga menjadi satu penanda aras bagi kerajaan negeri untuk memberi peluang yang lebih besar kepada TADC dan MCT Agriculture untuk kita lebih maju selangkah lagi.

“Di sini pun kita sudah gunakan teknologi IOT (Internet of Things) sepenuhnya dan teknologi yang sama akan dibawa ke Setiu ditambah dengan teknologi solar farm di bahagian atas dan pertanian di bahagian bawah,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: