KUALA TERENGGANU, 1 Februari– Kerajaan Terengganu menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan anak-anak jati negeri yang menjadi penyumbang pingat dalam memastikan kejayaan keseluruhan menjadi milik kontinjen negara dalam Sukan Para ASEAN 2025 di Bangkok, Thailand.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pencapaian tersebut membuktikan atlet para kelahiran Terengganu memiliki keupayaan, daya juang dan semangat juara yang tinggi untuk mengharumkan nama negara di pentas serantau.
Menurut beliau, kejayaan yang diraih bukan sekadar pencapaian peribadi atlet, malah mencerminkan hasil pembangunan sukan para yang berterusan di negeri ini serta sokongan padu daripada jurulatih dan pegawai sokongan.
“Terengganu amat berbangga apabila anak-anak negeri ini bukan sahaja mewakili negara, malah tampil sebagai antara penyumbang utama pingat dalam pelbagai acara yang dipertandingkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, baru-baru ini.
Beliau memaklumkan, atlet Terengganu yang menyumbang pingat emas kepada negara termasuk Muhammad Hanafi Mohd Rosli dalam acara boccia dan Md Mohd Hazlin Abdullah dalam acara Ping Pong.
Sementara itu, pingat perak pula disumbangkan oleh Muhammad Aruddin Mat dalam acara Para Memanah, selain Muhammad Ikhwan Ramli dan Mohamad Faris Ahmad Azri yang masing-masing beraksi cemerlang dalam acara Badminton.
Bagi pingat gangsa, kejayaan diraih oleh Nurul Nasuha Mohd Anuar dalam acara Para Ping Pong, sekali gus melengkapkan sumbangan pingat atlet anak Jati Terengganu kepada kontinjen negara.
Ahmad Samsuri juga menyebut penglibatan beberapa atlet lain yang turut memperkukuhkan pasukan negara dalam acara berpasukan, termasuk Ahmad Sulaiman Samsuddin dan Nani Shahiera Zawawi dalam acara para olahraga serta Zuhairie Ahmad Tarmizi bagi acara para basikal.
Selain itu, Razali Cantik, Muhammad Atib Zakaria dan Muhammad Hafiz Ramli turut berperanan memperkuatkan pasukan Wheelchair Basketball negara, manakala Luqman Hakim Mohd Shukri mewakili negara dalam acara Blind Football.