• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Bantu Cari Kerja Untuk Bekas Penagih

BESUT, 1 September - Kerajaan negeri melaksanakan satu langkah proaktif dalam membantu bekas penagih untuk mendapatkan pekerjaan bagi menyara kelurga selepas golongan terbabit sentiasa dipinggirkan sebaik keluar dari pusat pemulihan dadah.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nor Khuzaini A. Rahman berkata, pihaknya bekerjasama dengan sebuah syarikat pembuatan di Johor untuk memberi peluang kepada bekas penagih memulakan kehidupan lebih baik.

"Pada 30 Ogos kerjasama ini telah terjalin dengan rasmi, dengan dihadiri oleh Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri, kita telah panggil semua bekas pelatih pusat serenti, kita akan tawarkan mereka untuk bekerja di Mybrush Group Of Companies di Johor.

"Lebih 120 orang bekas-bekas pelatih ini datang apabila mereka mengetahui mengenai tawaran ini. 

"Saya rasa apabila golongan ini dibantu ini merupakan suatu usaha baik kerajaan negeri untuk terus membantu semua golongan, bukan hanya penganggur, tetapi golongan 'rentan' ini juga yang selama ini tidak diambil kisah oleh masyarakat kita cuba bantu dan berikan mereka peluang untuk dapatkan kerja," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyantuni lima pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud sempena kejayaan mereka dalam pertandingan 'The 7th International Invention Innovation Competition In Canada (iCan 2022), di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, katanya syarikat itu beroperasi dengan mengeksport komponen yang digunapakai pada vakum kepada lebih 100 buah negara dan akan mula membuka kilang baru tidak berapa lama lagi.

"Sebelum ini kami telah menghantar seramai 20 orang bekas pelatih dari Setiu dan selepas ini akan dikembangkan lagi  melalui AADK di setiap daerah.

"Jadi kita mulakan di Besut ini walaupun secara tidak rasminya kita telah mulakan di Setiu dan selepas ini kita akan kembangkan lagi ke seluruh daerah untuk membantu seramai mungkin golongan ini," ujarnya lagi.