• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Belanja RM644,700 Elaun Guru Khidmat Masyarakat Di Dua Parlimen


Kerajaan negeri membelanjakan RM644,700 bagi membayar elaun bulanan kepada 768 guru khidmat masyarakat Yayasan Islam Terengganu (YIT) di Parlimen Kuala Terengganu dan Marang.

Penyampaian elaun bagi tempoh tiga bulan bermula April lalu berjumlah RM300 setiap bulan turut termasuk guru dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit dan Manir.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri melalui YIT membelanjakan kira-kira RM700,000 sebulan bagi membayar elaun guru pengajian agama dan al-Quran di seluruh Terengganu.

"Khidmat guru agama bersama-sama kerajaan negeri dalam memenuhi tuntutan Islam di Terengganu amat dihargai.

"Sebagai penghargaan kerajaan negeri membelanjakan RM644,700 untuk semua yang hadir hari ini,"katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Elaun Guru Khidmat Masyarakat YIT, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.


Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia Dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib dan Pengarah YIT, Dato' Dr. Alias Abdullah.

Menurut Dr Alias, sehingga kini terdapat 2,444 kelas pengajian agama dan al-Quran melibatkan 1,942 guru di seluruh Terengganu.

Daripada jumlah itu, 1,428 kelas al-Quran kampung melibatkan 1,430 orang guru, 651 kelas al-Quran dewasa (317 ), 28 kelas al-Quran belia (24), 60 kelas berzanji (29) dan 275 kelas agama dewasa melibatkan 144 orang guru.


Tag: