• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Terengganu Bike Week 2017 27 Mac- 2 April, Tampil Kelainan

Tengku Sri Temenggung (kanan) bersama Tun Faisal menunjukkan pamplet mempromosikan penganjuran Terengganu Bike Week 2017 27 Mac-2 April 2017 ini.

Terengganu Bike Week 2017 yang dijadualkan berlangsung pada 27 Mac hingga 2 April ini, bakal membawa kelainan kepada pengunjung dan kira-kira 3,000 peserta yang datang dari dalam dari luar negara, sempena sambutan Visit Beautiful Terengganu (VBT) 2017.  

Presiden Persatuan Gabungan Permotoran Negeri Terengganu (PGPNT), Tengku Sri Temenggung Raja, Dato' Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud berkata, program tahunan bagi edisi kali kelima itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti baharu kepada peserta yang mampu menonjolkan tradisi dan kebudayaan Terengganu.

"Pada tahun ini, program ini dijangka lebih meriah dan menarik dengan penglibatan lebih ramai peserta berbanding tahun sebelumnya, selain pelbagai aktiviti sampingan seperti pameran serta jualan turut dianjurkan di Dataran Batu Buruk dan di Dataran Permata Seberang Takir.

“Kali ini ada sedikit perbezaan apabila program yang turut mendapat sambutan dari kerajaan negeri ini turut mempromosikan VBT 2017 yang sedang berlangsung,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Sidang Media Sempena Terengganu Bike Week 2017 di Hotel Primula, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Faisal Tun Abdul Razak, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu, Zanariah Mamat dan Pengurus Promosi Sekretariat Beautiful Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani .

Katanya, dalam memeriahkan lagi acara sempena VBT 2017 pihaknya akan menonjolkan pelbagai aktiviti dan warisan yang terdapat di negeri ini kepada peserta terutama  mereka yang datang dari luar Terengganu termasuk Brunei, Singapura dan Thailand.

"Pada 31 Mac, semua peserta akan berkumpul dan kita akan menjemput penunggang dari luar negara di sempadan dan pada 1 April, kita akan adakan konvoi muhibah di Kampung Baru Seberang Takir dan peserta akan didedahkan dengan  aktiviti kebudayaan masyarakat setempat termasuklah aktiviti pembuatan keropok lekor.

"Selain itu, kita juga akan menjalankan program amal yang mana kita akan memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan,"katanya.

Tag: