• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Terengganu Bina Momentum Baharu, Kerjasama MPKK-JKKR

Dr Azman Ibrahim.
KUALA TERENGGANU, 14 November - Kerajaan Terengganu bergerak ke arah momentum baharu apabila menjalin persefahaman dengan Felda untuk melibatkan penyertaan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Terengganu sebagai anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) berkuat kuasa serta merta.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim dalam satu sidang media di Wisma Darul Iman, semalam.

Turut hadir, Pengurus Besar Felda Wilayah, Mohd Helmi Fahkzan Abdul Wahab dan Pegawai Khas Menteri Besar bagi Hal Ehwal Tanah Persekutuan, Naraza Muda.

Dr. Azman berkata, pihak pengurusan tertinggi Felda telah bersetuju supaya Pengerusi MPKK menjadi anggota JKKR yang sebelum ini dianggotai ketua-ketua blok dan dipilih secara demokrasi oleh peneroka tanah rancangan tersebut.

Katanya, kedua-dua keanggotaan itu berfungsi untuk menjaga kepentingan peneroka termasuk dalam hal kebajikan, pembangunan dan keperluan setempat.

Menurutnya, MPKK adalah struktur pentadbiran negeri yang berada di peringkat paling bawah untuk menjadi agen penyampai kerajaan negeri.

"Struktur pentadbiran Felda pula berbeza dengan pengurusan kampung biasa sebab Felda ada pentadbiran sendiri yang dipanggil JKKR," jelasnya.

Beliau berkata, pentadbiran kerajaan negeri dan pengurusan Felda perlu diselaraskan supaya tidak ada ruang kosong berlaku sehingga menimbulkan masalah kepada peneroka.

"Jadi kalau MPKK bergerak satu hala, JKKR pula bergerak ke arah satu hala yang lain, di situ dia akan tinggalkan satu ruang kosong.

"Ruang kosong ini kita mahu tiadakan dengan cara kita libatkan MPKK ke dalam JKKR," jelasnya lagi.

Justeru, beliau mengharapkan kerjasama itu memberi manfaat kepada kira-kira 7,459 orang peneroka dan 60,000 isi rumah di 21 tanah rancangan Felda seluruh negeri Terengganu.

Sementara itu, Mohd Helmi Fahkzan menyokong penuh jalinan kerjasama itu sambil berkata, kedua-dua belah pihak perlu memanfaatkan perkara positif untuk kebaikan peneroka Felda dengan mengenepikan fahaman politik.

Terdapat 50 MPKK yang terbabit dengan tanah rancangan Felda dan akan bekerjasama dengan 20 JKKR seluruh negeri Terengganu.


Tag: