• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Terengganu Cadang Perluas Skop Kerja MARRIS

Dr Azman Ibrahim.
Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 28 Januari - Terengganu mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan supaya skop kerja peruntukan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) diperluaskan demi keselesaan dan kesenangan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia perlu ditambah baik kepada kerja-kerja pembinaan jalan baharu dan bukan hanya tertumpu penyelenggaraan sahaja.

Katanya, sebab itulah kerja-kerja menyelenggara lebih rancak berbanding pembinaan jalan raya baharu.

“Setakat ini, MARRIS hanya membenarkan skop kerja penyelenggaraan dan naik taraf jalan sedia ada yang berdaftar sahaja. Tidak boleh digunakan untuk bina jalan baharu.

“Untuk bina jalan baharu, kita guna peruntukan daripada sumber di bawah skop lain. Di Jabi, jalan baharu kita bina, penyelenggaraan jalan sedia ada pun kita buat,” katanya dalam satu kenyataan bagi menjawab persoalan penduduk kampung pagi ini.

Untuk rekod, peruntukan MARRIS di bawah Kerajaan Persekutuan hanya membenarkan skop kerja penyelenggaraan dan naik taraf jalan sedia ada yang berdaftar sahaja.

Dana tersebut tidak boleh digunakan untuk membina jalan raya baharu sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang.




Tag: