• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu Cari Jalan Laksana Janji Tanpa Salahkan Mana-Mana Pihak

Dr. Samsuri azam tunai janji manifesto yang dijanjikan.
KUALA TERENGGANU, 31 Disember - Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meletakkan azam untuk melaksanakan baki janji manifesto dan mengukuhkan ekonomi negeri itu menjelang ambang tahun baharu 2019 hari ini.

“Setakat ini, sebanyak 12 daripada 20 janji manifesto telah dilaksanakan dan sedang berjalan.

“Kita tidak akan melaksanakan semuanya sekali gus kerana terdapat sebahagian janji memerlukan kajian tambahan dan persediaan sebelum diteruskan.

"Kita laksanakan secara berperingkat kerana mahu kesannya dirasai oleh rakyat.
Kerajaan negeri turut prihatin dalam membangun keharmonian antara kaum.
“Apa yang penting, kita akan berusaha tanpa mencari alasan untuk tidak melaksanakannya, itu kunci yang lebih penting.

“Sebaliknya, cari jalan untuk laksanakan tanpa menyalahkan mana-mana pihak samada di waktu lampau atau sesiapa sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Program Gateh Basikal sempena Ambang Tahun Baharu 2019 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau yang turut melawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan  Pasar Payang dalam program tersebut menyatakan tahun 2019 adalah tahun untuk memperkukuh suasana ekonomi negeri.

“Walaupun ekonomi global tidak menentu, kita berharap ia tidak menghalang kerajaan negeri untuk melaksanakan janji dan mengukuhkan suasana ekonomi.

 “Tahun 2018 yang bakal berakhir malam ini adalah tempoh kami mengenal pasti masalah yang wujud dan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikannya.

“Manakala, tahun mendatang ini adalah masa untuk merealisasikan dan meneruskan janji yang telah diberikan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu serta memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.
''Gateh' basikal merupakan sukan yang popular di kalangan rakyat Terengganu.



Tag: