• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Terengganu Catat Gred Purata STAM Lebih Tinggi daripada Gred Nasional

KUALA TERENGGANU, 23 April - Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 Negeri Terengganu mencatatkan Gred Purata Negeri 2.79 sekali gus mengatasi Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 3.09.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata peningkatan itu secara tidak langsung menonjolkan potensi STAM untuk terus bersaing dalam ekosistem Kementerian Pendidikan Malaysia. 

“Lebih membanggakan ialah apabila Gred Purata Sekolah (GPS) Sekolah Agama Negeri Terengganu mencatatkan prestasi yang lebih baik iaitu 2.48 berbanding Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia, 2.52. 

“Tahniah saya ucapkan kepada pelajar-pelajar STAM 2023 dan juga kepada para pendidik atas pencapaian ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Tambah Zuraida, beliau percaya bahawa sektor pendidikan akan terus menjadi perhatian utama dan keutamaan Kerajaan Negeri dalam usaha untuk memperkasakan potensi pendidikan di Terengganu.

“Ia dizahirkan melalui titah ucapan Tuanku Al-Sultan semalam yang sentiasa menekankan kepentingan kecemerlangan pendidikan yang berterusan.

“Sehubungan dengan itu, saya berharap agar infrastruktur dan kurikulum Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) dapat ditambah baik dari semasa ke semasa menerusi sokongan kewangan daripada sumbangan semua pihak," ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: