• 07 Okt 2024 | 04 Rabiul Akhir 1446

Terengganu Cipta 5,000 Peluang Pekerjaan Melalui Pelaburan

KUALA TERENGGANU, 23 April – Terengganu berjaya menyediakan lebih 5,000 peluang pekerjaan melalui hasil pelaburan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Noor berkata Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah mengumumkan Terengganu merealisasikan nilai pelaburan berjumlah RM2.4 bilion di negeri ini sehingga Mac lalu. 

“Nilai tersebut telah melebihi 50 peratus daripada RM4.2 bilion yang disasarkan bagi tahun ini.

“Selain merancakkan industri berorientasikan eksport dan domestik, saya berharap Kerajaan negeri juga mengoptimumkan peluang ini untuk mengukuhkan rantaian perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di peringkat nasional dan global,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Zuraida juga menyuarakan kebanggaannya terhadap usaha yang diketuai oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Unit Perancang Ekonomi Negeri, dan beberapa pihak lain dalam merancang untuk memajukan industri nadir bumi (REE). 

Menurutnya, langkah ini disambut baik sebagai upaya bersama dalam meningkatkan potensi ekonomi serta pembangunan industri strategik di Terengganu.

“November tahun lepas, Menteri Besar menyebutkan perkara ini dalam Ucapan Belanjawan 2024, Januari tahun ini sudah diadakan perbincangan dengan pihak pelabur dan pada Mac lalu pula disusuli dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU). 

“Saya mewakili seluruh rakyat memberikan sokongan dan dukungan penuh kepada Kerajaan Negeri dalam menjayakan agenda ini supaya dapat menjana hasil yang maksimum kepada negeri, selain dapat menarik lebih banyak pelaburan serta mengukuhkan pasaran pekerjaan di negeri ini. 

Tambah Zuraida, melihat kepada momentum yang semakin baik dalam sektor perindustrian, perdagangan, dan pelaburan, serta peningkatan prestasi produktiviti pekerja negeri, beliau optimis bahawa ini akan memacu pertumbuhan ekonomi negeri mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Namun, Kerajaan Negeri juga diingatkan agar sentiasa berhati-hati agar sumber mineral kita tidak dirompak seperti yang berlaku ke atas hasil daripada minyak dan gas asli negeri kita bak kata pepatah sekalilah si buta kehilangan tongkat,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: