• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

HULU TERENGGANU, 1 November - Masyarakat di Terengganu mulai terbiasa dengan pengamalan norma baharu yang diarah oleh kerajaan dalam setiap aktiviti harian.

Dalam tinjauan baru-baru ini di lokasi Pasar Pagi Jumaat di Kampung Bukit Diman, Ajil, boleh dikatakan semua pengunjung mengenakan pelitup muka sebagai usaha mengurangkan keberjangkitan virus COVID-19.

Pengunjung Pasar Pagi Jumaat di Kampung Bukit Diman.

Seorang pengunjung yang ditemui, Wan Fauziah Wan Ali 48, berkata, ianya perlu dilakukan walaupun pada mulanya agak merimaskan bila ditanya tentang norma baharu ini.

"Ianya perlu dilakukan dan diamalkan walaupun sedikit merimaskan demi mengurangkan jangkitan virus ini.

"Kalau kita tengok pada pagi ini semua orang memakai pelitup muka, ini bermakna kesedaran oleh masyarakat sudah di tahap terbaik.

"Tapi yang masih meresahkan saya adalah jarak selamat iaitu jarak satu meter di antara setiap pengunjung masih belum dapat diamalkan," katanya.

Wan Fauziah mengharapkan agar perkara ini dapat diberi sedikit perhatian oleh pihak berkuasa dalam memerangi virus ini dan juga berharap agar pandemik itu segera berakhir.

"Kalau kita sama-sama menjaga dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan insya-Allah ianya dapat diatasi dan perbanyakkan doa semoga ianya cepat berakhir, kita jaga kita," ujarnya.