• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Drag Battle 2017 King Of The King 2.0 Himpun 500 Pelumba

Antara pelumba yang akan turut memeriahkan kejohanan yang bakal bermula pada 27 April ini di Perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Permotoran Terengganu Darul Iman (PPTDI) dan Koperasi Permotoran Terengganu Darul Imam Berhad bakal menganjurkan Kejohanan Terengganu Drag Battle 2017 King Of The King 2.0 tanpa henti selama lima hari bermula 27 April ini di Perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.

Pengerusi PPTDI, Rosli Nooral Azhar @ Hassan berkata, program yang merupakan kesinambungan daripada kejohanan tahun lalu bakal menghimpunkan lebih 500 pelumba dari dalam dan luar negara.

Katanya, pada tahun lepas, penyertaan hanya melibatkan 400 pelumba namun meningkat kali ini melibatkan lebih ramai pelumba muda berikutan dengan pembukaan litar baru di Perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu.

"Sehingga hari ini, bagi kereta seramai 200 pelumba yang melakukan pengesahan termasuk 17 pelumba dari Thailand dan 12 pelumba dari Singapura, manakala untuk motosikal pula lebih 300 peserta akan menyertai kejohanan tersebut.

"Bagi kereta, terdapat 20 kategori bakal dipertandingkan manakala 10 kategori untuk motosikal dengan hadiah keseluruhan yang ditawarkan adalah sebanyak RM500,000," katanya yang ditemui dalam sidang media sempena Kejohanan Terengganu Drag Battle 2017 King of the King 2.0 di Perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, hari ini.

Rosli berkata, selain daripada acara utama sempena perasmian litar baharu tersebut, pelbagai program-program lain turut dijalankan.

Tambahnya, sebelum acara perlumbaan dilakukan, majlis solat hajat akan dilakukan terlebih dahulu.

"Acara-acara lain seperti 'drift', 'time attack', 'mini bike', 'gymkhana' termasuk 'auto show' turut dimuatkan sepanjang kejohanan ink berlangsung," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Koperasi Permotoran Terengganu Darul Imam Berhad, Mohd Yasin Awang berkata, kejohanan itu bakal memberi impak positif kepada kerajaan negeri terutama sempena Visit Beautiful Terengganu 2017.

"Litar yang baru siap dibina ini adalah litar pertama di Malaysia dibina khas untuk mengatasi gejala sosial oleh Mat Rempit di Terengganu.

"Dengan penganjuran kejohanan-kejohanan sebelum ini, Terengganu telah melahirkan ramai jaguh dalam bidang permotoran di peringkat antarabangsa," katanya.

Tag: