KUALA NERUS, 25 September - Pasukan Terengganu FC gagal mendapatkan tiga mata penuh dalam saingan Asean Club Championship (ACC) Shopee Cup 2024, setelah sekadar seri 2-2 menentang Dong A Thanh Hoa (DATH) FC, sebentar tadi.
Sekalipun mendahului dua gol di awal perlawanan, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner gagal menyekat kebangkitan kelab Vietnam itu pada separuh masa kedua.
Melayan kunjungan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Sang Penyu bermula garang dengan menguasai perlawanan seawal minit pertama.
Tuan rumah cuba memanfaatkan kelebihan laman sendiri untuk mencetak jaringan awal namun tiada percubaan tepat ke arah gol.
Pada minit ke-22, pemain sayap kebangsaan, Akhyar Rashid berjaya memecah kebuntuan apabila bijak menewaskan dua pertahanan lawan sebelum menewaskan penjaga gol, Trinh Xuan Hoang dengan rembatan rendah untuk gol pertama tuan rumah.
Terengganu FC terus tenang mengawal permainan sekalipun DATH FC cuba untuk bangkit.
Memasuki minit ke-41, Manuel Ott sekali lagi menambah duka pelawat apabila menyudahkan hantaran lintang Azam Azmi untuk gol kedua perlawanan, Terengganu FC mendahului 2-0.
DATH FC bagaimanapun bangkit merapatkan kedudukan kepada 2-1 setelah Luiz Antonio Soares menyempurnakan sepakan percuma menewaskan penjaga gol, Suhaimi Husin pada minit-minit terakhir separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, pasukan pelawat lebih agresif mengkucar-kacirkan kubu Sang Penyu.
Kesilapan Ubaidullah Shamsul Fazili mengeluarkan bola dari kawasan sendiri akhirnya menghadiahkan jaringan penyamaan kepada DATH FC pada minit ke-52 apabila tertampan bola ke gawang sendiri.
Pada minit ke-77, Ubaidullah hampir menebus kesilapannya apabila menyambut bola muntah hasil sepakan percuma Marin Pilj, bagaimanapun rembatannya dinafikan tiang gol.
Tuan rumah terus buntu menjelmakan jaringan kemenangan sehingga wisel penamat dibunyikan.
Keputusan seri 2-2 pada aksi kedua saingan ACC Shopee Cup meletakkan Terengganu di kedudukan kelima dalam kumpulan A.